SARA kembali lagi, RM100 dikredit kepada setiap warganegara 9 Februari

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diteruskan tahun ini apabila setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan RM100 yang dijadualkan dikreditkan pada 9 Februari depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan SARA yang disalurkan secara sekali beri melalui MyKad itu melibatkan seramai 22 juta rakyat serta boleh digunakan bagi persiapan sambutan Ramadan dan Tahun Baharu Cina.

“Bantuan ini dikreditkan pada 9 Februari bagi maksud persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, sumbangan SARA untuk penerima miskin tegar akan dikreditkan pada 9 Januari.

Sementara itu, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu iaitu berjumlah sehingga RM500 bakal dikreditkan pada 20 Januati ini.

Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diumumkan pada 23 Julai 2025 oleh Perdana Menteri dan mula disalurkan pada 31 Ogos 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Bantuan satu kali sebanyak RM100 kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu disalurkan melalui MyKad.

Kerajaan memperuntukkan sekitar RM2 bilion untuk program Penghargaan SARA bagi membayar RM100 kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa yang layak.

BACA JUGA Anwar umum 3 reformasi, laksana manifesto PH