Dari UMNO ke PKR, Saifuddin Abdullah kini ‘ditendang’ Bersatu

Berkuat kuasa hari ini, Datuk Saifuddin Abdullah yang dahulunya bersama UMNO kemudian PKR, sekarang sudah dipecat daripada keahlian Bersatu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengesahkan menerima surat daripada Lembaga Tatatertib Bersatu petang tadi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkenaan memberitahu akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut

“Betul. Saya terima (surat) petang tadi. Saya akan buat hantar rayuan dalam beberapa hari lagi,” dipetik BH.

Dilaporkan, Saifuddin menerima surat yang bertarikh hari ini mengenai keputusan berkaitan keahliannya yang ditentukan dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.

Menerusi surat tersebut, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu dikatakan telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti tanpa memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan.

Sebelum ini, pada 27 Oktober tahun lalu, Saifuddin dan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis.

Untuk rekod, Saifuddin, 65, memulakan karier politiknya dalam UMNO hingga pernah menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti komponen BN itu.

Beliau keluar UMNO pada 2015 dan kemudian menyertai PKR tetapi pada 2020, Saifuddin keluar dari PKR bersama lapan ahli parlimen lain termasuk Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

BACA JUGA Pemimpin pembangkang Singapura minta PMX jangan kerja kuat sangat, ini sebabnya