Mahathir rupanya patah tulang di pinggul kanan
Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi, disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff menerusi saluran kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, Dr Mahathir dijangka memerlukan rawatan dan pemerhatian doktor di hospital bagi tempoh beberapa minggu lagi.
“Selepas menjalani penilaian perubatan, disahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan.
“Tun dijangka dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi rawatan dan pemerhatian,” jelasnya.
Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya dan dibawa IJN dua jam kemudian.
Sufi berkata, pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.
Kali terakhir Mahathir dikejarkan ke IJN pada 13 Julai 2025 setelah mengalami keletihan ketika sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke-100 tahun.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan berehat di IJN beberapa jam sebelum dibenarkan pulang pada petang hari yang sama.
BACA JUGA ‘Hebat akhlak Datuk Seri Anwar. Kalau orang lain ni…’