NGO sambut baik komitmen reformasi institusi Perdana Menteri
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan, CSO Platform for Reform menyambut baik mesej Tahun Baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan komitmen jelas Kerajaan Perpaduan terhadap pembaharuan institusi.
Menurut CSO Platform, keutamaan reformasi yang digariskan Perdana Menteri, termasuk pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan had tempoh 10 tahun atau dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri, penubuhan Ombudsman, serta penggubalan undang-undang kebebasan maklumat, mencerminkan tuntutan utama pembaharuan institusi yang konsisten dibawa oleh pertubuhan masyarakat sivil sejak bertahun-tahun lalu.
Pertubuhan itu berpendapat iltizam tersebut merupakan langkah penting ke arah memulihkan kepercayaan awam, memperkukuh akauntabiliti, serta mengukuhkan tadbir urus demokrasi di Malaysia.
“Secara khusus, pemisahan kuasa pendakwaan dan nasihat undang-undang merupakan pembaharuan institusi asas bagi menjamin kebebasan pendakwaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan CSO Platform.
Jelasnya, had tempoh jawatan Perdana Menteri penting sebagai mekanisme semak dan imbang bagi mengelakkan penumpuan kuasa, manakala penubuhan Ombudsman yang bebas serta rangka kerja kebebasan maklumat yang kukuh akan menjadi tunjang kepada ketelusan, integriti dan pentadbiran awam yang responsif.
Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform turut mengalu-alukan tindakan Perdana Menteri yang menetapkan keutamaan pembaharuan institusi sejak awal tahun.
Namun, gabungan tersebut menegaskan komitmen itu perlu diterjemahkan kepada tindakan perundangan yang konkrit, khususnya dalam persidangan Parlimen dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kami menekankan bahawa pembaharuan institusi yang bermakna memerlukan bukan sahaja kehendak politik, tetapi juga pembentangan rang undang-undang yang tepat pada masanya, semakan Parlimen yang mencukupi, serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Penyertaan awam
Dalam pada itu, gabungan tersebut menekankan kepentingan penyertaan awam yang inklusif dan berstruktur sepanjang proses pembaharuan, dengan pertubuhan masyarakat sivil, badan profesional, ahli akademik dan orang awam diberi ruang sebenar untuk terlibat melalui rundingan, penglibatan jawatankuasa pilihan khas serta proses pembuatan dasar yang telus.
Pembaharuan institusi berskala besar, tambah CSO Platform, perlu berteraskan rakyat dan dimaklumkan oleh pengalaman hidup bagi memastikan keberkesanan serta kelestariannya.
Sebagai gabungan yang komited terhadap agenda reformasi, CSO Platform for Reform menyatakan kesediaan untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan dan ahli-ahli Parlimen dalam menyokong pembangunan, penambahbaikan dan pelaksanaan pembaharuan institusi berkenaan.
“Mesej Tahun Baharu ini menawarkan arah tuju dan harapan yang baharu.
“CSO Platform for Reform menantikan komitmen pembaharuan institusi ini diutamakan, dibahaskan, serta digubal di Parlimen, serta bekerjasama secara kolektif ke arah Malaysia yang lebih bertanggungjawab, telus, dan demokratik,” menurut kenyataan itu lagi.
BACA JUGA Jangan asyik meratib DAP, Syahir