Pemimpin pembangkang Singapura minta PMX jangan kerja kuat sangat, ini sebabnya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima pujian dan nasihat santai daripada pemimpin pembangkang Singapura, Derrick Sim, yang merupakan Pengerusi People’s Power Party (PPP).
Pernah menjadi calon bagi Tampines GRC dalam Pilihan Raya Umum Singapura tahun lalu, Derrick menyifatkan Anwar sebagai antara Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki Malaysia dalam tempoh yang panjang.

Beliau turut menasihati Perdana Menteri supaya tidak terlalu terbeban dengan kerja dan mengambil sedikit masa untuk berehat.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Anwar,
“Pada pendapat saya, YAB benar-benar antara Perdana Menteri TERBAIK yang pernah dimiliki Malaysia sejak sekian lama.
“Saya cuma ada satu permintaan kecil—sangat kecil: mungkin YAB boleh berehat sedikit. Tak perlu bekerja terlalu keras,” tulisnya dalam nada bersahaja di Facebook beliau.
Meraih kira-kira 2,000 tanda suka setakat ini, Derrick yang berpengalaman selama 15 tahun dalam institusi kewangan antarabangsa terkemuka itu berkata, dolar Singapura (SGD) kini semakin susut manakala ringgit semakin mengukuh.
“Baru dua minggu lepas, kadar SGD kepada Ringgit ialah 3.18, sekarang sudah 3.15.
“Kalau terlalu kuat, nanti orang Singapura datang pesan roti canai kosong sahaja lepas itu balik. Ramai antara kami masih sangat berjimat cermat,” seloroh Derrick.
Beliau juga sempat menekankan bahawa keberhasilan dicapai dengan perlahan dan konsisten, sambil menasihati Anwar supaya bertenang.
“Bertenanglah, YAB Perdana Menteri. Perlahan dan konsisten membawa kejayaan,” kata Pengerusi PPP berusia 45 tahun itu lagi.
Untuk rekod, kadar SGD kepada Ringgit kini masih sekitar RM3.15 hingga RM3.16.
BACA JUGA Mahathir rupanya patah tulang di pinggul kanan