Siapa lagi mangsa kerakusan Amerika Syarikat seterusnya?
RAJA BAHRIN SHAH
Walaupun sudah beberapa bulan sejak Presiden Trump mengancam untuk menyerang Venezuela, serangan sebenar serta penculikan Presiden Maduro dan isterinya tetap mengejutkan dunia.
Walaupun banyak ancaman beliau sebelum ini hanyalah kosong, ancaman yang satu ini benar-benar dilaksanakan. Ini menunjukkan betapa terdesaknya Amerika Syarikat untuk menguasai minyak Venezuela, yang merupakan simpanan minyak terkaya di dunia.
Keinginan negara-negara Barat untuk mengawal dan memiliki sumber semula jadi negara lain pada masa kini telah mendorong banyak negara Afrika berusaha keras menyingkirkan kuasa Barat asing daripada mengeksploitasi sumber asli kekayaan mereka.
Ini amat jelas melalui kepimpinan Ibrahim Toure dari Burkina Faso yang mengetuai gerakan nasionalis kuat ini di benua Afrika. Kebangkitan ini sangat ketara di Afrika.
Venezuela yang terletak di Amerika Selatan bukan sahaja dekat dengan Amerika Syarikat, malah mempunyai simpanan minyak yang sangat besar dan amat diingini oleh AS.
Alasan bahawa Venezuela adalah sumber utama dadah ke AS adalah tidak benar kerana statistik menunjukkan Colombia ialah sumber utama dan Mexico ialah laluan utama bekalan tersebut.
Dakwaan palsu ini sama seperti dakwaan dahulu bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran yang digunakan untuk menghalalkan pencerobohan ke atas Iraq bagi mendapatkan akses kepada sumber minyaknya yang kaya.
Presiden berbahaya ini menimbulkan ancaman sebenar kepada dunia bebas kerana ia menghantar mesej jelas bahawa apa sahaja yang Amerika Syarikat mahukan, Amerika Syarikat akan rebut .
Terdapat sebab dan keperluan sebenar mengapa dunia harus beralih kepada sistem dunia berbilang kutub (multipolar) di mana setiap negara mempunyai kebebasan membuat pilihan.
Di sinilah BRICS menawarkan alternatif yang sangat diperlukan kepada dunia. Banyak negara kini berpaling kepada China dan Rusia berdepan dengan tindakan kewangan dan ketenteraan AS yang amat agresif.
Adalah tidak boleh diterima bahawa dalam dunia moden dan canggih ini, undang-undang antarabangsa dicabuli dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa- ICC diabaikan oleh Amerika Syarikat.
Kecaman negara-negara antarabangsa terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh AS dalam serangan ke atas Venezuela tidak di hirau dan bermakna bagi AS.
Colombia dan Mexico juga telah diberi amaran oleh AS bahawa mereka mungkin turut menjadi sasaran sekiranya gagal mematuhi tuntutan AS.
Denmark telah memberi amaran kepada AS mengenai kemungkinan pencerobohan ke atas Greenland demi sumber asli yang kaya, seperti yang diancam oleh Trump.
Pencerobohan AS ke atas Greenland akan menandakan berakhirnya pakatan NATO.
Jika sebuah negara anggota NATO sendiri pun berasa tidak selamat, apakan lagi maknanya bagi seluruh dunia bertamadun dalam menghadapi hegemoni agresif AS?
Pada masa lalu, AS telah melakukan pencerobohan ganas dan membawa bencana di Vietnam, Afghanistan, Iraq, Libya, Panama dan kini Venezuela.
Dunia harus bersedia menghadapi lebih banyak kekacauan dan peperangan oleh kuasa hegemonik AS dalam bulan-bulan mendatang tahun 2026.
RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH