Sumbangan SARA RM100: Doktor pun tegur Tok Dan

Sumbangan Asas Rahman (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas disifatkan sebagai satu usaha meringankan beban rakyat, walaupun nilainya kecil, kata Dr Ahmad Fadhzil Mohamad.

Doktor dan ahli perniagaan dari Perlis itu berkata, sebagai individu dalam kategori berpendapatan tinggi (T20) yang membayar cukai dalam jumlah besar, sudah tentu berharap agar kerajaan mengumumkan dasar yang lebih tegas dan berani.

Ia jelasnya, termasuk pulangan cukai, insentif atau bentuk keadilan ekonomi yang lebih dirasai oleh golongan profesional.

Namun begitu, Dr Ahmad Fadhzil berkata, pengumuman bantuan SARA tetap memberi makna tersendiri dalam suasana kos sara hidup global yang semakin menekan.

“Bila MySara diumumkan lagi, saya sebenarnya senyum kecil. Bukan kerana jumlahnya RM100, tetapi kerana dalam dunia yang makin berat ini, ada juga usaha kerajaan untuk ringankan nafas rakyat, termasuk orang macam kami yang penat bina ekonomi negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembayaran SARA sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu dapat membantu rakyat untuk melakukan persiapan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.

Kelegaan psikologi

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fadhzil yang juga peneraju AFM Holdings, Annura Medical Group dan Addeen Academy itu menegaskan bahawa bantuan yang kecil tidak seharusnya dianggap hina.

Sebaliknya, beliau berpendapat, ia mampu memberi kelegaan psikologi kepada rakyat, khususnya dalam membuat persiapan harian dan menyambut perayaan tanpa tekanan berlebihan.

“Kadang-kadang, yang kecil itulah yang buat kita boleh sambut raya tanpa rasa sesak di dada, beli barang dapur tanpa rasa bersalah dan rasa bahawa kerajaan masih melihat kita sebagai manusia,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengkritik kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim atau dipanggil Tok Dan yang mendakwa kononnya rakyat lebih berminat dengan Muafakat Nasional dan politik Perlis walaupun Perdana Menteri membuat pelbagai pengumuman.

Dr Ahmad Fadhzil mengingatkan agar segala inisiatif kerajaan yang bersifat positif tidak dijadikan bahan sindiran politik secara berlebihan.

“Kalau orang hulur payung waktu hujan, tak perlu kita bebel kenapa payung itu bukan jenama mahal.

“Kritik bila perlu, tegur bila salah, tetapi menolak semua benda baik hanya kerana ego politik bukanlah satu prinsip,” katanya.

Beliau menambah bahawa politik mempunyai batas dan tidak semua perkara wajar dijadikan medan pertempuran, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berdepan tekanan hidup yang semakin mencabar.

“Hidup ini sudah cukup berat. Kadang-kadang, berkawan dengan semua orang lebih tenang daripada menang tetapi mencipta ramai lawan.

“Dan mungkin, ketenangan itu lebih mahal nilainya daripada apa-apa bantuan tunai,” kata Dr Ahmad Fadhzil lagi.

BACA JUGA Pemimpin pembangkang Singapura minta PMX jangan kerja kuat sangat, ini sebabnya