2026 tahun pelaksanaan menyeluruh reformasi kesihatan KKM – Dr. Dzulkefly

FOTO BERITA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menggariskan hala tuju strategik sistem kesihatan negara bagi tahun 2026 menerusi Majlis Perjumpaan & Amanat Tahun Baharu 2026 bersama Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Aras 8, Blok E7, KKM, Putrajaya. 6hb Januari 2026 (Selasa)

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi KKM termasuk Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, serta Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, pengarah-pengarah bahagian, pengarah kesihatan negeri dan pegawai kanan kementerian.

Dalam amanatnya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan fasa pelaksanaan menyeluruh reformasi kesihatan negara selepas tempoh mendiagnosis dan merancang pada tahun-tahun sebelumnya. Beliau menyifatkan tahun 2025 sebagai tahun ujian dan pembuktian keupayaan warga KKM dalam mengemudi sistem kesihatan yang berdepan kekangan struktur, pembiayaan dan aset yang uzur.

“Di sebalik kekangan dana dan beban legasi, warga KKM telah membuktikan ketahanan luar biasa. Anda semua adalah ‘unsung heroes’ yang terus berkhidmat tanpa menjadikan kekurangan sebagai alasan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni, atas sumbangan beliau khususnya dalam menangani isu kesihatan di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman, serta mengalu-alukan pelantikan YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Kesihatan yang baharu.

Selaras dengan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh YAB Perdana Menteri, Menteri Kesihatan berkata KKM akan menterjemahkan agenda nasional kepada tindakan kesihatan yang nyata, khususnya dalam aspek peningkatan mutu perkhidmatan, keprihatinan terhadap pesakit miskin dan ketangkasan pelaksanaan projek klinik daif.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan empat Lonjakan Utama KKM 2026 dengan tema “Membugar Islah, Melonjak Perkhidmatan”.

Lonjakan pertama ialah Pendigitalan Menyeluruh, yang menyaksikan peluasan Total Hospital Information System (THIS) ke 16 hospital, Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) ke 2,489 fasiliti kesihatan primer dan Dental Information System ke 157 klinik pergigian. KKM juga akan mengoperasikan papan pemuka bersepadu bagi pemantauan fasiliti secara masa nyata serta memulakan langkah ke arah pewujudan National Health Interoperability Platform (NHIP).

Lonjakan kedua melibatkan Reformasi Pembiayaan bagi memastikan kelestarian sistem, termasuk pelaksanaan inisiatif Rakan KKM, pengukuhan pembayaran berasaskan Diagnosis-Related Group (DRG) serta kerangka RESET bersama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan industri insurans dan takaful.

Lonjakan ketiga memberi tumpuan kepada Modal Insan dan Kebajikan, dengan sasaran lantikan tetap melibatkan 4,500 pegawai perubatan dan 935 jururawat pada tahun 2026, selain pengoperasian Papan Pemuka Sumber Manusia Bersepadu bagi menangani isu agihan dan pengekalan tenaga kerja.

Lonjakan keempat pula memfokuskan Kesihatan Awam dan Etika, termasuk penguatkuasaan penuh Akta 852 berkaitan rokok dan vape, reformasi perkhidmatan transplan serta penggunaan data raya bagi pendekatan Precision Public Health.

Di peringkat antarabangsa, Datuk Seri Dr. Dzulkefly memaklumkan Malaysia akan memimpin agenda kesihatan serantau sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) 2026, selain memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi sasaran Malaysia Year of Medical Tourism (MyMT) dengan pulangan ekonomi sehingga RM15 bilion menjelang 2030.

Mengakhiri amanatnya, beliau menyeru seluruh warga KKM agar memperkukuh kesatuan dan memecahkan tembok silo antara jabatan demi membina sistem kesihatan yang adil, mampan dan berdaya tahan.

“Rakyat menilai kita sebagai satu entiti – Kementerian Kesihatan Malaysia yang peduli. Marilah kita melangkah ke tahun 2026 dengan semangat baharu, berkhidmat demi negara tercinta,” katanya.