Had dua penggal Perdana Menteri manifestasi komitmen reformasi – Saifuddin Nasution:

FOTO BERITA: Hasrat untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bukanlah idea baharu, sebaliknya merupakan antara komitmen awal gerakan Reformasi sejak tahun 1999, kata Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 6hb Januari 2026 (Selasa)

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, selari dengan prinsip reformasi dan tadbir urus baik. Menurut Saifuddin, komitmen tersebut telah lama menjadi antara ikrar utama Reformasi, namun tidak dapat direalisasikan sebelum ini berikutan kegagalan memperoleh mandat rakyat dalam beberapa pilihan raya terdahulu.

“Seingat saya, sejak 1999 lagi kami sudah berikrar bahawa jika diberi peluang membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri, tempoh jawatan itu akan dihadkan. Tetapi kita tidak mendapat mandat – 1999 tidak terpilih, 2004 kalah teruk, 2008 juga tidak berjaya membentuk kerajaan,” katanya. Beliau menjelaskan, hanya selepas situasi politik negara kembali stabil dan kerajaan memperoleh mandat kukuh, agenda reformasi berkenaan dapat diterjemahkan secara berperingkat.

“Selepas masuk tahun ketiga pentadbiran, keadaan politik stabil. Dalam penggal lalu, lima tahun bertukar tiga Perdana Menteri, tetapi dalam penggal ini, tiga tahun satu Perdana Menteri. Dari sudut ekonomi pula, petunjuk menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.
Saifuddin berkata, dalam konteks itulah Perdana Menteri mengumumkan komitmen menghadkan tempoh jawatan sebagai satu langkah berprinsip dan berwawasan.

Menurut beliau, tempoh maksimum 10 tahun adalah munasabah bagi seorang Perdana Menteri menterjemahkan idea, melaksanakan perubahan dan melihat hasil kepada agenda reformasi yang dibawa. “Kalau seseorang Perdana Menteri mahu melakukan perubahan, tempoh 10 tahun itu mencukupi. Dia boleh melaksanakan dasar, membuat pembaharuan dan menilai sendiri hasilnya,” katanya.

Tambah beliau, komitmen tersebut juga menghantar isyarat jelas bahawa jawatan Perdana Menteri bukan untuk dipegang selama-lamanya, sebaliknya tertakluk kepada prinsip tanggungjawab dan pertanggungjawaban kepada rakyat. “Ia memberi kejelasan kepada rakyat. Di bawah kepimpinan ini, tempohnya 10 tahun. Rakyat boleh menilai dengan adil – berdasarkan dasar yang dilaksanakan dan perubahan yang dicapai,” katanya.

Saifuddin turut menegaskan bahawa langkah ini akan mendidik rakyat ke arah politik yang lebih matang, dengan penilaian terhadap pemimpin dibuat berasaskan prestasi dan kejayaan melaksanakan agenda reformasi, bukan sentimen perkauman, keagamaan atau politik adu domber. “Kita mahu mendidik rakyat supaya memilih kerajaan dan pemimpin berdasarkan keupayaan menterjemahkan agenda perubahan, bukan emosi atau sentimen sempit. Inilah hikmah tersirat di sebalik komitmen had dua penggal Perdana Menteri,” katanya.