Meraikan transformasi PH dalam Kerajaan Perpaduan
Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
Jika semua orang masih ingat, selepas berlakunya Langkah Sheraton beberapa kali percubaan telah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil balik Kerajaan Persekutuan.
Namun, kesemuanya itu gagal. Pada waktu itu, hanya 108 Ahli Parlimen yang menyokong PH berbanding 114 yang menyokong kerajaan Tebuk Atap pada masa itu.
Selepas 18 bulan TSMY menjadi Perdana Menteri, akhirnya berlaku peristiwa Tebuk Atap kali kedua yang dilakukan oleh Ahli Parlimen yang menyokong peristiwa Tebuk Atap kali pertama. DS Ismail Sabri telah mengangkat sumpah sebagai PM9.
Tidak lama selepas DS Ismail Sabri mengangkat sumpah, beliau terus menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13/9/2021.
Bagi yang berminat boleh lihat MOU ini di dalam website Parlimen Malaysia.
Walaupun Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan PH ketika itu dikritik teruk kerana menandatangani MOU itu kerana seolah-olah PH telah menyerah kalah dengan Langkah Sheraton namun wujud rahmat besar di sebalik MOU itu.
Pada ketika itu, ramai yang menyatakan PH begitu lemah sehingga sudah tidak mampu mengambil alih Kerajaan Persekutuan semula.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya. PH ketika itu barangkali sudah hilang perang yang kecil (battle) tetapi mengundur setapak bukan maksudnya akan hilang perang yang besar.
Rahmat yang berlaku apabila PH sudah mengakui kelemahan adalah PH perlu terus bermujahadah dan berjuang untuk keluar daripada kelemahan tersebut.

Memang benar apabila MOU itu ditandatangani maka PH secara rasminya menamatkan sebarang usaha untuk mengambilalih semula Kerajaan Persekutuan.
Dalam kata lain, PH telah menghentikan sebarang rundingan daripada mana-mana pihak untuk Tebuk Atap 3.0.
Dengan penamat sebegitu, PH telah berjaya membina kekuatan kembali sehingga mampu menawan 82 kerusi di dalam PRU15.
Aktiviti sosial
PH telah menggunakan peruntukan kerajaan hasil daripada tandatangan MOU tersebut untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial dan masyarakat sehingga diberikan peluang kembali untuk menjadi Kerajaan Persekutuan.
Berbalik kepada MOU itu, apa yang ingin disebutkan bahawa MOU itu telah menetapkan beberapa transformasi yang perlu dilaksanakan, iaitu:
1) Pemerkasaan Pelan Covid-19
2) Transformasi Pentadbiran
3) Pembaharuan Parlimen (Parliamentary Reform)
4) Kebebasan Institusi Kehakiman
5) Perjanjian Malaysia MA63
Hari ini, PMX telah melaksanakan hampir kesemua transformasi yang termaktub di dalam MOU tersebut.
Apa yang berlaku pada hari ini adalah sangat luar biasa meskipun mendapat kejian dan makian daripada penyokong parti pembangkang.

Di bawah Transformasi Pentadbiran, terdapat tiga perkara utama yang perlu dilaksanakan iaitu meluluskan RUU Anti Lompat Parti, melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik untuk pengundi berumur 18 tahun dan membentangkan RUU untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun.
Untuk rekod, RUU Anti Lompat Parti telah diluluskan melalui pindaan kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Begitu juga dengan pendaftaran pemilih secara automatik telah dilaksanakan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021.
Manakala, semasa ucapan tahun baharu 2026, PMX menyatakan RUU berkaitan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan pada Januari 2026.
Di bawah transformasi pembaharuan Parlimen, MOU tersebut menyatakan bahawa Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu diberikan kebebasan untuk mentadbir urusan kewangan dan pentadbiran Parlimen.
Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas juga perlu distrukturkan semula.
PMX telah mengotakan semua ini dan pada tahun 2025, Akta Perkhidmatan Parlimen telah diluluskan yang mana akta ini telah memberikan kebebasan kewangan dan pentadbiran kepada Parlimen. Kerajaan juga sedang mengadakan libat urus bagi meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) melalui pindaan yang akan dibuat pada tahun 2026.
Keseriusan PMX
Berkaitan dengan kebebasan institusi kehakiman, kita juga melihat keseriusan PMX untuk menjamin kebebasan ini.
Kira-kira 150 hakim terima kenaikan gaji antara RM7,650 hingga RM10,800 mulai 1 Januari 2026 melalui warta diterbitkan 24 Disember di bawah Peraturan-Peraturan Saraan Hakim 2025.
Pensabitan kes DS Najib Razak dalam kes 1MDB juga menampakkan bahawa para hakim ini tidak tertakluk kepada sebarang tekanan politik meskipun UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Walaupun ada usaha-usaha penyokong DS Najib yang tidak berpuas hati, namun itulah fungsi kehakiman yang perlu menjalankan perbicaraan berdasarkan bukti dan bukannya sentimen.
Meskipun wujud cakap-cakap dan gosip mengenai pelantikan hakim, akhirnya gosip tersebut telah mati apabila Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Berkaitan Perjanjian Malaysia MA63, menteri yang baharu dilantik yang secara khusus ditugaskan untuk Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud telah menyatakan bahawa kementerian beliau sedang membangunkan papan pemuka status terkini pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Selain itu, platform rundingan MA63 telah ditubuhkan melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan sendiri oleh PMX dan Jawatankuasa Teknikalnya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, DS Fadillah Yusof.
Sebanyak 29 perkara telah dibincangkan dan 13 perkara telah diselesaikan iaitu 9 diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan manakala 4 diselesaikan oleh kerajaan terdahulu. Baki 16 perkara sedang dirunding secara berterusan.
Justeru, dalam mana beberapa pihak menyuarakan rasa gusar mengenai kelenturan prinsip PMX atas pembentukan Kerajaan Perpaduan, kesemua transformasi yang dicatatkan di dalam MOU Kerajaan Persekutuan dan PH telah dilaksanakan dengan sebaiknya oleh PMX dan pasukan kabinetnya.
Maka, jelaslah bahawa PH telah memberikan sumbangan yang besar kepada kestabilan dan transformasi struktur negara Malaysia.
Ini adalah satu kejayaan yang patut diraikan!
*DR ZULQARNAIN LUKMAN merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun).