Mungkin tiba masa undur diri, kata Akmal lepas cadangan ditolak UMNO
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh memberi bayangan sudah tiba masanya untuk berundur diri.
Namun tidak menyatakan akan berundur dari jawatannya dari ketua sayap pemuda itu atau dalam pentadbiran kerajaan negeri
Dalam hantaran di Facebook, ADUN Merlimau itu berkata dia sudah cuba sehabis baik dan menyampaikan sehabis baik.
“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik..Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri. Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama,bangsa dan tanah air, InsyAllah waktunya akan sampai jua,” tulisnya di Facebook.
Akmal berdepan kritikan hebat termasuk dalam kalangan pimpinan partinya sendiri selepas menggesa UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan Pas di blok pembangkang.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menolak cadangan Akmal dengan menegaskan, parti itu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.