‘Saya tegaskan orang tengah dan ejen tak dibenar masuk Kementerian Pertahanan’ – Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu bagi memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.  

Baginda, bertitah menegaskan rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali. 

“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda di laman Facebook rasmi. 

Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut mengingatkan bahawa kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab. 

Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Datuk Azhan Md Othman, PTD yang baharu di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini.

BACA JUGA Syahir pemimpin Pas ‘mulut huduh’, kata Zamir