Tujuh beradik terima sijil kelahiran, KDN perbetul isu identiti berlarutan puluhan tahun

FOTO BERITA: Seramai tujuh beradik akhirnya menerima sijil kelahiran masing-masing selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya menyelesaikan isu pendaftaran yang berlarutan puluhan tahun, dalam satu majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di No. 9, Jalan Melati Sari, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor. 6hb Januari 2026 (Selasa)

Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kes berkenaan berpunca daripada perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan, sekali gus menyebabkan kelahiran anak-anak mereka juga tidak didaftarkan mengikut kehendak undang-undang. Keadaan itu mengakibatkan anak-anak berkenaan membesar tanpa dokumen pengenalan diri, sekali gus menghadapi kesukaran untuk memasuki sistem persekolahan dan mendapatkan rawatan kesihatan.

“Anak-anak ini tidak bersalah. Saya sendiri bertemu dan mendengar luahan mereka yang menceritakan dengan penuh emosi kesukaran hidup yang dialami sejak kecil akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri,” katanya kepada media. Beliau menjelaskan, ketika ayah mereka masih hidup, usaha pendaftaran pernah dibuat namun terhalang oleh kekurangan pengetahuan mengenai keperluan mematuhi undang-undang. Isu berkenaan akhirnya dibawa ke perhatian pihak berkuasa melalui keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) dan peguam, sebelum ditangani oleh JPN Selangor dengan pengetahuan Ketua Pengarah JPN, Dato’ Badrul Hisham.

Menurut beliau, kes tersebut memberi pengajaran penting kepada masyarakat, khususnya peri pentingnya mendaftarkan perkahwinan sebagai asas kepada pendaftaran kelahiran anak. Selain itu, di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, mana-mana individu yang mengetahui tentang sesuatu kelahiran, bukan terhad kepada ibu bapa, bertanggungjawab untuk membuat pendaftaran kelahiran berkenaan.

Dalam kes keluarga ini, jelas beliau, pihak JPN bersama pihak berkuasa agama daerah telah membantu mendaftarkan semula perkahwinan ibu bapa, manakala anak-anak pula melalui proses pendaftaran lewat kelahiran. Walaupun pendaftaran kelahiran di Semenanjung Malaysia perlu dibuat dalam tempoh 60 hari, proses pendaftaran lewat tetap disediakan bagi kes-kes yang melepasi tempoh tersebut.

“Apabila kedua-dua proses ini selesai, status mereka adalah anak sah taraf. Mereka kini memiliki dokumen pengenalan diri yang sah termasuk MyKad, yang membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih sempurna. Jika perkara ini tidak diselesaikan, masalah ini boleh berlarutan hingga ke generasi seterusnya,” katanya.

Mengulas usaha berterusan kerajaan, Datuk Seri Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JPN memberi tumpuan kepada pengesanan dan penyelesaian kes-kes ketiadaan dokumen, khususnya di Sabah dan Sarawak, menerusi penubuhan jawatankuasa bersama kerajaan negeri. Inisiatif MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) pula digerakkan dengan pendekatan turun padang, di mana pegawai JPN dihantar ke kawasan pedalaman bagi membantu masyarakat secara langsung. “Bukan rakyat yang datang ke pejabat, tetapi pejabat yang pergi mencari rakyat. Program ini sudah berjalan dan memberi impak yang sangat besar,” katanya.

Dalam sesi soal jawab media, beliau memaklumkan bahawa pendaftaran lewat kelahiran pada tahun lalu berjumlah 9,528 kes, manakala pada tahun 2024 sebanyak 12,265 kes dan 13,442 kes pada tahun 2023. Walaupun jumlah itu kecil berbanding populasi negara, beliau menegaskan implikasinya besar sekiranya tidak ditangani.

Beliau turut memaklumkan lebih 12,000 kes berjaya diselesaikan menerusi inisiatif MEKAR Didik, hasil kerjasama KDN dan Kementerian Pendidikan bagi membantu kanak-kanak yang sudah berada di alam persekolahan.

Menjawab soalan mengenai masyarakat Orang Asli, Datuk Seri Saifuddin berkata pendekatan sama digunakan, termasuk membuka kaunter bergerak di kawasan sukar diakses seperti Taman Negara Jerantut, bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus perdana. “Kita mahu masyarakat tahu bahawa masalah ini boleh diperbetulkan dan kerajaan sedia membantu. Ini adalah tanggungjawab hakiki Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.