47 pertuduhan babit Zahid NFA selepas penilaian menyeluruh – AGC
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
AGC dalam satu kenyataan berkata, keputusan diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.
“Jabatan ini memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (“No Further Action”) akan diambil berhubung kes berkenaan.
“Keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan keputusan DNAA itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.
“Ia termasuklah perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada Jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri,” jelasnya.
AGC berkata, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
“Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan skop dan fokus siasatan peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.
“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
“Ia juga mengambil kira langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes,” ujarnya
AGC berkata, dapatan hasil siasatan merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa.
BACA JUGA Buat status “hahaha”, peguam Abdul Kadir akan fail permohonan hina mahkamah pada Aliff Syukri