5 golongan ini tidak layak ‘booking’ makan di Rembayung
Oleh AZMI JAMALUDIN
Sebagai pemerhati saya melihat Khairul Aming buka Rembayung bukanlah untuk memuaskan hati semua pihak. Rembayung ada kelas dan sasarannya tersendiri.
Jadi untuk menjimatkan masa dan wang anda, cuba semak adakah anda tergolong dalam kategori di bawah.
Jika ya saranan saya mungkin Rembayung bukan tempat yang anda cari. Berilah ruang itu kepada mereka yang benar-benar menghargainya.
1) Golongan yang membandingkan harga tanpa melihat nilai
Jika anda jenis yang berkira dan terus membandingkan harga restoran berkonsep dengan kedai makan biasa anda mungkin akan kecewa.
Mentaliti kedai kampung RM12 kenapa sini mahal? tidak relevan di sini.
Rembayung bukan menjual murah tetapi mereka menjual nilai rasa, keselesaan dan pengalaman menjamu selera yang sukar didapat di tempat lain.
2) Penggemar trend hipster bukan rasa asli
Kalau tekak anda mencari menu viral yang pelik-pelik, penuh cheese meleleh atau masakan fusion moden Rembayung bukan tempatnya.
Kekuatan Rembayung adalah pada keaslian masakan Melayu. Mereka menyajikan tradisi, bukan menu yang sekadar mengikut trend semasa.

3) Golongan yang hadir untuk mencari salah, bukan menikmati rasa
Ada beza antara memberi kritikan membina dengan sengaja mencari kesalahan.
Jika melangkah masuk dengan niat “aku nak tengok apa yang tak kena”, hidangan sesedap mana pun tidak akan cukup di mata anda.
Makan di sini adalah soal rasa dan hati. Ia bukan medan untuk menjadi juri tanpa tauliah.
4) Mereka yang tidak memahami realiti bisnes F&B
Ramai yang memandang enteng dan beranggapan “alaa, influencer buka kedai, senanglah.”
Hakikatnya, menguruskan restoran fizikal dengan kos operasi, gaji staf dan risiko perniagaan adalah satu cabaran besar.
Jika tidak mampu menghormati usaha dan perjalanan orang lain lebih baik kita melihat dari jauh sahaja.
5) Golongan yang tidak menghargai pengalaman ‘Dining’
Jika definisi makan bagi anda hanyalah:
Datang → Kenyang → Balik mungkin konsep Rembayung agak asing bagi anda.
Ia bukan restoran makanan segera (fast food). Rembayung direka sebagai ruang untuk duduk bersantai, berbual panjang dan menikmati suasana.
Rembayung bukan restoran untuk semua orang. Ia dicipta untuk mereka yang faham erti nilai, seni kulinari, dan pengalaman.
BACA JUGA Anwar terima darjah kebesaran tertinggi Türkiye, lambang akrab dua negara