AMANAH Johor tempelak Pas, kerjasama politik tidak bermakna gadai prinsip
AMANAH Johor menempelak kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang menuduh AMANAH sebagai pak turut kepada DAP.
Naib Pengerusinya, Dr Zuhan Zain berkata, kenyataan Syahir jelas mencerminkan budaya menuduh secara membuta tuli, tanpa fakta dan tanpa kefahaman terhadap realiti sebenar proses demokrasi dalam sesebuah parti politik.
Beliau menolak naratif songsang Pas yang cuba menggambarkan kerjasama politik sebagai kehilangan prinsip, dengan menegaskan bahawa kerjasama politik tidak bermaksud sesebuah parti menjadi “pak turut” atau menggadai maruah.
“Pas sendiri pernah bekerjasama dengan UMNO, Bersatu, PKR dan DAP dalam pelbagai gabungan sebelum ini. Kerjasama politik tidak pernah bermakna menjadi “pak turut” atau menggadai maruah.
“Jika logik Pas bahawa kerjasama bermaksud tunduk membuta tuli, maka Pas sendiri pernah berada dalam kedudukan yang sama ketika menyertai kerajaan campuran sebelum ini dan hujah sebegini bukan sahaja lemah, malah tidak matang dan hipokrit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, setiap keputusan penting parti dibuat melalui proses yang berdisiplin dan demokratik merangkumi perbincangan menyeluruh, perbahasan terbuka serta undian dalaman.
Justeru, dakwaan bahawa “semua keputusan ditentukan DAP” adalah fitnah politik, tidak berfakta, dan hanya bertujuan merendahkan kewibawaan AMANAH di mata rakyat.
“Apa yang membezakan AMANAH dan Pas ialah AMANAH tidak menjadikan Islam sebagai alat untuk menghalalkan penghinaan politik, fitnah dan serangan melampau terhadap pihak lain,” ujarnya.
BACA JUGA Lawat makam Atatürk tak perlu jadi modal politik