Buat status “hahaha”, peguam Abdul Kadir akan fail permohonan hina mahkamah pada Aliff Syukri

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mahu memfailkan permohonan mdnghina mahkamah dan perintah larangan bersuara terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Ia susulan hantaran Aliff di media sosial yang menulis “hahaha” mengenai kes saman fitnah difailkan Abdul Kadir, 87.

Peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir selaku plaintif berkata, walaupun mahkamah telah menasihatinya supaya tidak membuat sebarang kenyataan, namun usahawan berkenaan masih melakukan kesilapan sama.

“Perbuatannya perlu dihentikan sekarang, kerana ia akan menimbulkan prejudis terhadap kes dan anak guam, sekali gus menjejaskan proses keadilan di mahkamah. 

“Ini kerana hantaran itu dibaca oleh jutaan pengikutnya, malah dipetik oleh media termasuk portal berita hiburan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan dilihat sebagai mahu meraih simpati umum dan memberi gambaran negatif terhadap bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu

Bagaimanapun, Zulfahmi Abu Bakar yang mewakili Aliff Syukri selaku defendan berkata, hantaran awal iaitu “hahaha” sudah diturunkan.

Katanya, hantaran berkenaan tidak lebih kepada bentuk perkongsian di media sosial dan menganggap ia tidak akan mengganggu proses keadilan mahkamah.

BACA JUGA AMANAH Johor tempelak Pas, kerjasama politik tidak bermakna gadai prinsip