Delegasi SUKMA XXII Selangor tiba di Sepang bersama Obor Sukan Malaysia

FB Live… Majlis Simbolik Ketibaan Obor SUKMA dari Sawawak bersama YB Mohd Najwan diiringi oleh YBhg. Dato’ Mohd Yazid Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026 di Balai Ketibaan KLIA, Selangor. 7hb Januari 2026 (Rabu)

Delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor yang membawa pulang Obor Sukan Malaysia (SUKMA) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak dan Sabah.

Delegasi tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026.

Terdahulu pada sebelah pagi, Mohd Najwan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Kuching. Dalam pertemuan itu, berlangsung majlis penyerahan Obor SUKMA daripada Sarawak selaku tuan rumah SUKMA ke-21 dan Para SUKMA edisi 2024 kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA ke-22.

Penyerahan tersebut melambangkan simbolik rasmi peralihan tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu, sebelum obor berkenaan dibawa pulang ke Selangor dan diarak sebaik tiba di Balai Ketibaan Terminal 1, KLIA sebagai tanda bermulanya detik menuju penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026.

Obor SUKMA telah dibawa bersama oleh Mohd Najwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026, Dato’ Mohd Yazid bin Sairi, sebagai simbolik pelancaran kempen dan promosi serta menyemarakkan kemeriahan SUKMA XXII yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.

Turut hadir menyaksikan majlis simbolik itu ialah Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, YBrs. Tuan Mohamad Nizam bin Marjugi; Pegawai Daerah Sepang, YBrs. Tuan Khairi Azali bin Ibrahim; serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, YBhg. Dr. Ani binti Ahmad.

Obor SUKMA ini seterusnya akan dibawa menjelajah ke sembilan daerah di Selangor menerusi Acara Larian Obor peringkat negeri, sebagai sebahagian daripada rangka promosi penganjuran kali kedua Selangor menjadi tuan rumah SUKMA selepas kali terakhir pada tahun 1998, iaitu 28 tahun lalu.

SUKMA XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA pula melibatkan 10 jenis sukan dengan hampir 300 acara yang akan berlangsung dari 5 hingga 14 September 2026.

Sebanyak 52 lokasi pertandingan melibatkan sembilan daerah di Selangor akan digunakan, merangkumi 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan swasta, serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.