Hukum karma – Sumpahan Indera Mahkota

Wan Fauzuldin Wan Samad

MP Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah telah dipecat dari Bersatu serta merta kerana melanggar disiplin parti tersebut. Difahamkan beliau akan membuat rayuan dalam tempuh yang ditetapkan.

Sewaktu di dalam Umno sebelum beliau menyertai Keadilan, beliau pernah diberikan surat tunjuk sebab kerana dilihat bersama pembangkang sewaktu penubuhan PH. Pada tahun 2015, beliau menyertai Keadilan. Beliau diberikan tempat istimewa sebagai Setiausaha Sekretariat PH.

Satu lagi keistimewaan diberikan kepada mantan MP Temerloh ini apabila beliau diberikan tempat bertanding di kerusi selamat di Indera Mahkota pada PRU14.

Meskipun akar umbi di Indera Mahkota termasuk Cabang Indera Mahkota sendiri awalnya begitu tidak selesa dengan pencalonan beliau, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan keputusan parti.

Pengorbanan besar yang dibuat oleh penyandang kerusi Indera Mahkota Datuk Seri Fauzi Abdulrahman yang sanggup memberikan ruang kepada beliau di kawasan selamat tersebut dan bekas Pengerusi Keadilan Pahang itu mengambil risiko bertanding di kubu Umno di Dun Sg Lembing seharusnya dihargai oleh Saifuddin.

Beliau menang bergaya di parlimen Indera Mahkota, manakala Dato Seri Fauzi, bapa kepada Dato Farhan Fauzi , SUPOL PMX sekarang tewas di Dun Sg Lembing.

Malangnya, kacang lupakan kulit. Ketamakan menguasai diri sehingga sanggup mengkhianati mandat rakyat di Indera Mahkota apabila beliau mengikuti jejak Azmin Ali meninggalkan parti dan menyertai Bersatu pada tahun 2020. Beliau terlibat di dalam Langkah Sheraton di mana mandat rakyat dikhianati di Putrajaya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak berjasa kepada beliau dikhianati dan pengorbanan Datuk Seri Fauzi langsung tidak dipedulikan demi cita-cita tinggi beliau.

Hari ini hukum karma terjadi ke atasnya. Di mana Azmin, tokoh pujaannya dulu? Azmin tidak dapat membantunya seperti Anwsr Ibrahim pernah membantunya. Parti Bersatu yang beliau harapkan boleh memberikan kemewahan dan kedudukan kepadanya telah mencampak beliau keluar seperti tiada harganya lagi.

Beliau kini tiada parti ibarat pelesit tidak bertuan. Tiada siapa pedulikannya lagi, hatta rakannya Pas sudah mula mengintai kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU16 nanti.

Begitulah episod pengkhianatan di Indera Mahkota. Masyarakat di Indera Mahkota kini tiada tempat bergantung. Mereka ditipu dan diperdagangkan. Mereka kini diwakili oleh MP yang tidak berparti. Apakah itu kehendak mereka mengundi dahulu?

Hukum karma dan sumpahan Indera Mahkota ini wajar dijadikan pengajaran. Pengkhianat akan dikhianati dan akan menerima pembalasan.


Wan Fauzuldin Wan Samad ialah ketua cabang PKR Paya Besar.