Kenapa ‘meroyan’ tengok PMX melawat makam Ataturk? Ini sebabnya rakyat Turki sayang dia

Oleh HELMI EFFENDY

Kelakar juga saya tengok ada segelintir orang Melayu meroyan kenapa PMX kena melawat makam Ataturk.

Pertama, Ataturk walau dalam versi ustaz-ustaz kita, dia ini sebangsat apa pun, dengan kisah mitos mayat dia tidak diterima bumi atau makam dia berbau busuk, tapi sesungguhnya bagi orang Turki, dia bapa kemerdekaan di sana, sama taraf dengan Tunku Abdul Rahman.

Dia telah berjaya menyelamatkan Turki daripada dijajah oleh para tentera Allies masa pasca Perang Dunia Pertama selepas Uthmaniyyah kalah perang.

Jadi, sebab itu walau seislamik Erdogan pun, tetap gambar Ataturk terpasang pada biliknya.

Maka mahu tidak mahu, sudah jadi tradisi setiap pemimpin negara yang melawat Turkiye, akan memberi kalung pada makamnya.

Ya, kita tidak setuju dengan dasar sekularism lelaki ini. Tapi mesti ada sebab kenapa selepas apa yang Ataturk buat pada Turki, orang Turki masih sayang dia.

Kenapa orang Turki sanjung Ataturk? Kisahnya bermula apabila Perang Dunia Pertama (WW1) meletus, Empayar Uthmaniyyah menyertai Central Powers bersama Jerman, Austria-Hungary, dan Bulgaria, berharap dapat merebut kembali wilayah yang telah hilang kepada Britain dan Rusia.

Namun, selepas kekalahan Central Powers, Uthmaniyyah turut terseret dalam kekalahan besar.

Membubarkan Parlimen

Pada 11 November 1918, Perang Dunia Pertama berakhir, dan tentera Allies (Britain, Perancis, Rusia) pantas menguasai Istanbul dan wilayah strategik lain di Anatolia.

Pada masa itu, Sultan Mehmed VI hanya mampu mengalah dan bekerjasama dengan tentera Allies untuk menangkap ahli politik yang pro-Jerman dan membubarkan Parlimen.

Keadaan ini menambah kemarahan rakyat yang merasakan bahawa sultan mereka telah menyerah kalah kepada penjajah.

Perjanjian Sèvres yang sedang dirundingkan antara pihak Allies dan Uthmaniyyah pada ketika itu, berusaha untuk membahagi-bahagikan tanah jajahan Uthmaniyyah.

Syria dan Lubnan jatuh ke tangan Perancis, manakala Iraq, Jordan, dan Palestin dikuasai oleh Britain.

Kesan daripada itu, wilayah Anatolia pun hampir dibahagi-bahagikan antara kuasa-kuasa besar seperti Britain, Perancis, Itali, dan Greece.

Namun, dalam situasi yang sangat terdesak ini, muncul seorang pemimpin tentera yang menjadi harapan baru kepada rakyat Turki iaitu Mustafa Kemal Ataturk.

Walaupun pada asalnya diarah oleh Sultan Mehmed VI untuk mengawasi proses penyahtenteraan di Samsun, Ataturk mengambil tindakan berani untuk memulakan Millî Mücadele, sebuah gerakan nasionalis untuk menentang penjajahan asing dan memulihkan kedaulatan Turki.

Memimpin pertempuran

Ataturk memimpin pertempuran menentang tentera Greece yang telah menduduki Izmir dan pada akhirnya, pada September 1922, mereka berjaya mengusir Greece keluar dari Anatolia.

Dengan sokongan daripada Soviet Union, Ataturk berjaya mendapatkan perjanjian yang mengiktiraf sempadan Turki melalui Perjanjian Lausanne pada 1923.

Kemenangan ini membuka jalan bagi Ataturk untuk mengisytiharkan Republik Turki pada 23 Oktober 1923, dan menamatkan Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924.

Turki yang kita kenali hari ini terlahir dari perjuangan Mustafa Kemal Ataturk. Pada tahun 1923, setelah kekalahan Uthmaniyyah dan kemenangan dalam Perang Kemerdekaan.

Jadi, tidak hairanlah kenapa di mata rakyat Turki, Ataturk ni istimewa sangat.

Malah, sebagai simbol penghargaan kepada perjuangannya, rakyat Turki masih mengenang Ataturk setiap 19 Mei, kerana tarikh itu menandakan bermulanya Millî Mücadele dan kelahiran sebuah negara Turki yang merdeka, kuat, dan berdaulat.

Dan itu adalah mengapa setiap pemimpin dunia yang melawat Turki akan memberi penghormatan di makamnya.

Sebab Ataturk ini di mata orang Turki ialah wira mereka, dan sehingga kini, tidak ada mana-mana presiden Turki yang mengatasi pengaruh Ataturk.

Jadi, dah jadi satu simbolik diplomasi setiap pemimpin yang datang ke Turki, menyatakan hormat kepada bapa kemerdekaan mereka.

BACA JUGA Anwar terima darjah kebesaran tertinggi Türkiye, lambang akrab dua negara