Lawat makam Atatürk tak perlu jadi modal politik

Oleh AYMAN RASHDAN WONG

Dalam banyak-banyak isu ni, rasanya isu “lawat makam Atatürk” tak perlu pun nak dijadikan modal politik.

Sebab lawatan itu memang protokol standard. Kebanyakan pemimpin yang melawat Turki, memang akan beri penghormatan kepada Atatürk, sebab Atatürk ialah “Bapa Negara” ikut Perlembagaan dan undang-undang Turki.

Saya bukan cytro, jadi tak ada lah nak gigih korek gambar PM-PM sebelum ni yang pernah lawat makam tu.

Isu ni pun saya sebenarnya dah pernah ulas sebelum ni: kenapa orang Turki masih hormat Atatürk, walaupun dia sering digambarkan sebagai tokoh yang jahat dan anti-Islam.

Kadang-kadang, ustaz yang ceramah kat surau tidak faham konteks sejarah, walaupun mereka ahli dalam agama.

Cerita pasal Atatürk ni seolah-olah dia muncul tiba-tiba semata-mata nak rosakkan agama dan jatuhkan khilafah.

Nak faham Atatürk, kita kena faham sejarah pada waktu itu.

Mahu menjarah

Ketika itu, Turki (yang masih di bawah pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah) kalah dalam Perang Dunia Pertama (1914–1918).

Bila kalah perang, negara-negara pemenang pun mula mahu menjarah wilayah Uthmaniyyah.

Perancis dapat Syria dan Lubnan. British dapat Iraq dan Palestin. Tanah Turki sendiri pun mereka nak bahagikan.

Greece dapat bahagian. Itali dapat bahagian. Armenia pun dapat, sebab diorang memang bersekutu dengan pakatan British–Perancis lawan Uthmaniyyah.

Istanbul, ibu kota Uthmaniyyah, pun dah diduduki tentera pakatan. Mereka dah tak sabar nak pasang semula loceng gereja di Hagia Sophia.

Semua pembahagian ni dimuktamadkan dalam Perjanjian Sèvres. Negara pemenang paksa Khalifah dan Sultan Uthmaniyyah ketika itu, Mehmed VI, untuk tandatangan.

Mehmed VI waktu tu memang tak mampu nak buat apa-apa. Dah kalah perang, terima je lah.

Tapi ramai nasionalis Turki tak terima. Salah seorangnya ialah Mustafa Kemal Atatürk.

Daripada terima perjanjian tu, Atatürk lancarkan gerakan penentangan terhadap penjajah Barat.

Mehmed VI tak setuju. Bagi beliau, satu kesilapan (masuk Perang Dunia Pertama) dah cukup. Jangan buat silap kali kedua.

Atatürk tetap berdegil nak lawan. Maka Mehmed VI jatuhkan hukuman bunoh ke atas Atatürk, tapi Atatürk ketika itu tak berada di Istanbul.

Berjaya mengusir

Selepas hampir 3 tahun berjuang, Atatürk akhirnya berjaya mengusir kuasa-kuasa Barat keluar dari tanah Turki.

Perjanjian baharu dirunding, iaitu Perjanjian Lausanne, yang memuktamadkan sempadan Turki seperti hari ini.

Atatürk setuju melepaskan Syria, Iraq dan wilayah Arab lain, asalkan tanah Turki kekal milik orang Turki.

Matlamat Atatürk cuma satu: bebaskan tanah orang Turki. Tanah Arab dia lepaskan. Kalau dia teruskan perang untuk Syria dan Iraq, perang tu takkan habis-habis.

Atatürk muncul sebagai hero yang menyelamatkan tanah dan maruah orang Turki. Dengan populariti yang ada, Atatürk buat keputusan untuk mansuhkan Kesultanan Uthmaniyyah.

Mehmed VI dibuang negara. Republik Turki diisytiharkan. Atatürk jadi presiden pertama.

Pada awalnya, Atatürk masih kekalkan jawatan khalifah, dan lantik sepupu Mehmed VI iaitu Abdulmecid II sebagai khalifah.

Tapi lepas lebih kurang setahun, jawatan khalifah pun dimansuhkan sepenuhnya pada 3 Mac 1924.

Selepas itu, Atatürk lancarkan pelbagai “reformasi” untuk kuatkan Turki.

Ada yang bagus (contohnya pengenalan huruf Rumi untuk tingkatkan literasi), ada juga yang merepek (contohnya menukar azan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Turki).

Reformasi ini bertujuan untuk mewujudkan Turki yang sekular, moden dan kuat, supaya negara itu boleh bertahan dalam dunia yang didominasi Eropah.

Dan sebab itulah Turki hari ini lebih maju berbanding kebanyakan negara Islam lain. Kerana asas yang Atatürk letakkan.

Sebab itu juga ramai orang Turki masih sanjung Atatürk. Malah Erdogan, yang sering dilabel Islamis, pun tidak berani cabar sentimen ini.

Erdogan sendiri faham: tanpa Atatürk, Turki hari ini mungkin tak jadi kuat dari segi ekonomi dan ketenteraan.

Malah, kalau bukan sebab Atatürk, besar kemungkinan tidak wujud pun negara bernama Turki hari ni.

Bila kita cakap macam ni, bukan bermaksud kita nak menafikan tindakan Atatürk yang melampau termasuk ubah azan dan tekan identiti Islam.

Ulama pada zaman dia, macam Said Nursi, pun sedar hal ini. Tapi Said Nursi tetap melarang pemberontakan bersenjata terhadap Atatürk.

Sebab bagi beliau, Atatürk ada jasanya dalam mempertahankan negara Turki.

Jadi, Said Nursi pilih jalan aman: menulis Risalah al-Nur dan mendidik masyarakat tentang Islam sebenar, sebagai respon kepada “Islam versi moden” Atatürk.

Tidak mampu

Tentang pemansuhan khalifah pula, nak salahkan Atatürk sepenuhnya pun tidak tepat.

Uthmaniyyah ketika itu memang dah tak ada kuasa untuk pikul tanggungjawab sebagai khalifah. Negara sendiri pun tidak mampu dipertahankan, apatah lagi umat seluruhnya.

Atatürk mahu fokus kepada pembangunan Turki. Pemansuhan khalifah jadi simbol pemutusan hubungan Turki dengan umat Islam yang lebih besar.

Atatürk tidak halang pun umat Islam untuk memilih khalifah baharu. Malah, sebaik Khilafah Uthmaniyyah dimansuhkan, Sharif Husayn terus isytihar diri sebagai khalifah.

Cuma tak ada siapa nak iktiraf dia, dan dunia Islam sendiri gagal capai kata sepakat. Maka jawatan khalifah kekal kosong sampai hari ini.

Bila kita baca sejarah tokoh-tokoh ni, kita tak boleh terlalu hitam putih.

Bukan bermaksud kita tutup mata pada dosa dan kejahatan. Tapi kita kena akui, setiap pemimpin ada banyak sisi: ada jasa, ada juga kelemahan.

Bila kita faham ni, kita tak pening.

Macam Saddam Hussein. Ramai marah aku bila aku panggil dia diktator.

Diktator maksudnya pemimpin yang pusatkan kuasa pada diri sendiri. Diktator tak semestinya jahat.

Saddam memang diktator. Kalau tak, mustahil dia boleh survive dalam politik Iraq waktu tu. Kalau lembik, tak sampai dua jam dah kena guling.

Betul, Saddam lantang lawan Amerika dan Israsial. Tapi dia juga bertindak kejam terhadap sebahagian rakyat sendiri, terutamanya Kurdi dan Syiah.

Gaddafi pun sama. Ya, dia lawan imperialis dan jaga kebajikan rakyat. Tapi dia juga ada sisi gelap, termasuk kekerasan terhadap penentang.

Jadi legasi pemimpin ni memang bercampur: ada baik, ada buruk.

Tak perlu nak “whitewash” atau nak sucikan, tapi tak perlu juga “villainize” ikut naratif media Barat.

Berbalik kepada Atatürk. Baik atau buruk dia, biarlah orang Turki sendiri yang tentukan legasi dia.

Kita sebagai orang luar, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi, cuma ikut kehendak tuan rumah.

Kalau satu hari nanti orang Turki sendiri rasa tak perlu lagi sanjung Atatürk, kita pun tak perlu nak terlebih-lebih mengagungkan dia.

Perkara ini sebenarnya mudah kalau kita faham sejarah dan konteks dengan tenang.

BACA JUGA Bekas Panglima Tentera Darat kena reman 7 hari, ini pula nasib 2 isterinya