Penternakan babi akan distruktur semula secara moden di Bukit Tagar – Exco Pertanian Selangor

FOTO BERITA: Sidang Media Khas oleh YB Dato’ Ir. Izham Hashim Exco Pertanian Negeri Selangor mengenai isu ternakan babii Sepang & Kuala Langat di Bilik Pejabat Exco Bangunan SSAAS, Shah Alam, Selangor. 8hb Januari 2026 (Khamis)

SHAH ALAM, 8 Januari 2026 – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan isu ternakan babi di daerah Sepang dan Kuala Langat ditangani secara serius, berfasa dan menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan makanan, kawalan penyakit serta keharmonian masyarakat.

Perkara itu ditegaskan oleh YB Dato’ Ir. Izham Hashim, Exco Pertanian Negeri Selangor dalam Sidang Media Khas di Bilik Pejabat Exco, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini. Menurut beliau, Kerajaan Negeri amat menitikberatkan isu jaminan bekalan makanan (food security) termasuk keperluan komuniti bukan Islam, khususnya berkaitan bekalan daging babi, di samping memastikan isu pencemaran dan kebajikan awam terus dipelihara.

“Isu ini telah dibincangkan secara panjang lebar dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Kita telah lama mencari kaedah terbaik supaya penternakan babi dapat diurus dengan lebih teratur, moden dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Beliau memaklumkan, bagi perancangan jangka panjang, Kerajaan Negeri sedang dalam proses melaksanakan pemindahan dan penstrukturan semula penternakan babi secara moden di Bukit Tagar, Ulu Selangor. Namun begitu, proses tersebut memerlukan masa kerana melibatkan aspek kesesuaian tanah, teknologi dan pelaburan.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut mengambil kira keperluan mengekalkan bekalan babi hidup serta kebajikan penternak sedia ada di Selangor. Mengulas status ladang ternakan, YB Dato’ Ir. Izham berkata sebelum ini terdapat 117 ladang ternakan babi, namun tiga ladang telah diarahkan tutup kerana melanggar pelbagai syarat, menjadikan baki 114 ladang berlesen, selain satu ladang tidak sah.

Mengulas status ladang ternakan, YB Dato’ Ir. Izham berkata sebelum ini terdapat 117 ladang ternakan babi, namun tiga ladang telah diarahkan tutup kerana melanggar pelbagai syarat, menjadikan baki 114 ladang berlesen, selain satu ladang tidak sah.

“Kawasan ternakan babi di Selangor adalah unik kerana tertumpu di daerah Sepang yang bersempadan dengan Kuala Langat. Bagi memudahkan kawalan, Kerajaan Negeri menetapkan hanya kawasan Tanjung Sepat dibenarkan untuk operasi ternakan, manakala ladang di Sungai Belangkan perlu melalui proses pemindahan,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan tiga pertimbangan utama Kerajaan Negeri dalam pengurusan isu ini, iaitu jaminan keselamatan makanan, kawalan wabak penyakit African Swine Fever (ASF), serta hala tuju pembangunan industri ternakan babi di Selangor.

Setakat ini, wabak ASF telah menjejaskan 66 ladang, manakala 48 ladang disahkan negatif, daripada keseluruhan 114 ladang. Penyakit berkenaan masih aktif dan mudah merebak, justeru tindakan pantas diambil di bawah Akta Binatang 1953, Seksyen 36, termasuk pemantauan rapi, ujian darah dan pelupusan segera ternakan yang disahkan positif.

“Setiap ladang yang terlibat dengan ASF perlu melalui proses pembersihan menyeluruh dan tempoh kuarantin yang ketat sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Bagi memastikan bekalan daging babi mencukupi, Kerajaan Negeri turut membenarkan kemasukan babi hidup dari Sarawak sejak Julai tahun lalu, dengan purata sekitar 2,000 ekor seminggu, tertakluk kepada syarat kawalan biosekuriti yang sangat ketat. Kemasukan dari Perak juga dibenarkan dengan pemantauan rapi bagi mengelakkan risiko penularan penyakit.

Sidang media tersebut turut dihadiri pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr. Zuzana, serta wakil Unit Perancang Ekonomi dan sektor pertanian negeri. Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk terus mengimbangi keperluan industri, kebajikan penternak, keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat dalam menangani isu ternakan babi di negeri ini.