Anwar berlepas pulang dari Istanbul malam tadi, membawa pelbagai catatan kejayaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rombongan berlepas pulang ke Malaysia dari Türkiye malam tadi selepas mencatatkan pelbagai kejayaan dalam lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Bagi Anwar, kunjungan rasmi ke Ankara dan Istanbul ini sangat berhasil, bukan sahaja dalam memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai bidang strategik, malah membuka peluang baharu yang membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.
Türkiye kekal sebagai jambatan strategik Timur dan Barat, serta rakan yang konsisten berteraskan prinsip, saling menghormati dan kepercayaan, kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau memberikan penghargaan setulusnya kepada Presiden Erdoğan, Emine Erdoğan serta seluruh rakyat Türkiye atas layanan penuh keikhlasan dan kekeluargaan yang diberikan kepada beliau serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah dan dan delegasi Malaysia sepanjang berada di bumi Anatolia ini.
“Salut saya kepada jentera Wisma Putra dan MITI, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, para petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap aturcara berjalan lancar dan tersusun,” katanya.
Semasa di Turkiye, Anwar menerima penghormatan tertinggi Republik Türkiye melalui penganugerahan Order of the Republic, yang disampaikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan, sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye.

Sepanjang lawatan ini, pelbagai dokumen perjanjian ditandatangani oleh rombongan Malaysia dengan rakan mereka dari Türkiye.
Antara dokumen yang dimeterai termasuk:
- LoA perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 antara Kementerian Dalam Negeri dan Desan Shipyard.
- MoU bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Republik Türkiye.
- MoU Kerjasama Penyelidikan antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan SETA Foundation dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
- MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Türk Eximbank.
- MoU Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Türkiye.
- Pertukaran Minit Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia–Türkiye.
- Deklarasi Bersama mengenai penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).
Kesemua dokumen ini mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Türkiye untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat, kata Anwar.

“Dalam sidang media bersama, kami menegaskan iltizam bersama untuk memastikan setiap kerjasama yang telah dimeterai dilaksanakan secara berdisiplin, telus dan berkesan.
Mendoakan agar hubungan persahabatan yang terjalin kukuh antara Malaysia dan Republik Türkiye akan terus mekar, diperkasa dengan kepercayaan yang mendalam dan saling menghormati, Insya-Allah,” katanya.
BACA JUGA Anwar, penyokong MU, tetapi jumpa bintang Arsenal di Istanbul