PMX melancong: Kalaulah mereka ada bersama saya
Oleh KUMARESAN ARUMUGAN
Ini adalah permulaan sebuah perjalanan yang tidak pernah saya bayangkan sebagai seorang ADUN dan ahli parti.
Minggu lalu, saya menerima jemputan untuk menyertai delegasi bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya. Pada awalnya, saya fikir ini hanyalah satu tugasan diplomatik hadir mesyuarat, hadiri acara rasmi, jalankan tugas negara.
Rupanya saya silap.
Perjalanan ini jauh daripada tugasan biasa. Ia adalah pengalaman yang membuka mata, menyentuh jiwa, dan mengubah cara saya melihat kepimpinan, negara, dan masa depan.
Sejak hari pertama, saya menyaksikan sendiri betapa padatnya jadual Perdana Menteri. Dari pagi hingga lewat malam, tiada ruang rehat panjang, tiada masa bersantai. Program demi program berjalan tanpa henti mesyuarat, rundingan, pertemuan diplomatik, forum ekonomi semuanya dilaksanakan dengan fokus dan disiplin yang mengagumkan.
Di dalam kapal terbang, saya sangka itu masa beliau berehat. Tetapi sekali lagi saya salah. Beliau menghabiskan masa menyemak dokumen, membaca laporan, menulis nota, menandatangani fail, dan bersedia untuk sidang media.
Saya melihat semuanya dengan mata saya sendiri. Bukan dari jauh, tetapi dari jarak yang membuat saya sedar kenapa beliau dihormati pemimpin dunia.
Ada orang berkata:
“Anwar selalu ke luar negara.”
“Anwar pergi melancong, habiskan duit kerajaan.”
Tetapi jika mereka melihat apa yang saya lihat. Jika mereka berada walau satu hari saja dalam jadual delegasi ini. Mereka akan tahu bahawa tiada satu pun lawatan ini bersifat santai.
Setiap minit digunakan untuk membuka peluang pelaburan baharu, mengukuhkan hubungan antarabangsa, dan membawa nama Malaysia ke pentas global.
Sebagai orang muda, saya akui saya letih. Tetapi beliau… seolah-olah tidak pernah berhenti.
Saya sempat bertanya,
“Boss… tak letih ka?”
Beliau senyum sedikit dan menjawab dengan tenang tetapi penuh makna:
“I’m committed to reform this country.”
Ayat pendek itu cukup untuk memberi inspirasi.
Pada hari itu, saya sedar bahawa saya sedang menyaksikan reform bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi melalui disiplin, ketekunan, dan kerja keras seorang pemimpin yang tidak pernah berhenti berjuang.
Salute saya kepada Perdana Menteri kita 🫡. Seluruh rakyat Malaysia patut berbangga memiliki seorang pemimpin yang bekerja tanpa henti demi negara tercinta.
—————-
*Penulis adalah Adun Batu Uban, Pulau Pinang. Beliau menyertai rombongan Anwar ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya sebelum ini.
BACA JUGA Anwar berlepas pulang dari Istanbul malam tadi, membawa pelbagai catatan kejayaan