Mahathir masih jalani rawatan fisioterapi, pemulihan dijangka ambil masa
Tun Dr Mahathir Mohamad masih meneruskan rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami kecederaan patah tulang pinggul akibat terjatuh pada 6 Januari lalu.
Menurut kenyataan Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad, insiden tersebut berlaku di kediaman beliau di The Mines dan rawatan lanjut sedang dijalankan di IJN.
“Setelah berbincang dengan Doktor-doktor Pakar dari IJN, HUKM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz) dan HKL (Hospital Kuala Lumpur), diputuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik baginya.
“Mengambil kira faktor usia Tun Dr Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Tun Mahathir dan keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.
Buat masa ini, bekas Perdana Menteri berkenaan juga tidak dibenarkan menerima sebarang pelawat, kecuali ahli keluarga terdekat, bagi memberi ruang kepada proses pemulihan yang lebih berkesan.
BACA JUGA Saingan tiga penjuru di Kinabatangan, BN bertempur dengan Warisan di Lamag