Semua komponen perlu diberikan kebebasan buat keputusan berhubung pelantikan pengerusi PN

Semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) perlu diberikan kebebasan untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan berhubung pelantikan pengerusi PN dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, berkata mesyuarat MT PN akan diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan bekas pengerusi gabungan Muhyiddin Yassin, namun proses dalaman setiap parti perlu dihormati.

“Bersatu sendiri akan membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat MPT yang akan berlangsung dalam masa terdekat. Begitu juga dengan PAS dan komponen lain seperti Gerakan dan MIPP (Parti Progresif India Malaysia),” katanya, lapor FMT.

Hilman mengulas seruan Presiden PAS Hadi Awang supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN untuk menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.

Hadi berkata, PAS menghormati dan menerima keputusan diambil Muhyiddin berkuat kuasa 1 Jan lalu, selain merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa baktinya.

Katanya, perkara itu perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.

Mengulas lanjut, Hilman berkata peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN belum berjalan.

“Seperti termaktub dalam Perlembagaan PN, hanya berkuat kuasa setelah mendapat persetujuan,” katanya.