Desakan MP Pas punca Mahiaddin letak jawatan, siapa dia ya

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendakwa peletakan jawatan Mahiaddin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dibuat selepas terdapat desakan berterusan dalam kalangan Ahli Parlimen Pas.

Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan, Mahiaddin pada awalnya berhasrat untuk membawa cadangan peletakan jawatannya ke Majlis Tertinggi PN untuk diputuskan.

Namun ada pemimpin Pas yang tidak berpuas hati dengan perkara tersebut telah mendesak untuk Mahiaddin meletakkan jawatan serta merta tanpa melalui Majlis Tertinggi.

“Ada desakan daripada Ahli-Ahli Parlimen Pas supaya Tan Sri Mahiaddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.

“Tan Sri jawab ringkas bahawa beliau bersedia untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa sekiranya dikehendaki oleh Majlis Tertinggi PN. Beliau akan membawa perkara ini ke MT PN.

“Tetapi ada Ahli Parlimen Pas yang tidak berpuas hati dengan jawapan Tan Sri. Ahli Parlimen ini mendesak Tan Sri supaya meletak jawatan serta-merta tanpa membawanya ke MT PN,” katanya di Facebook.

Marzuki mendakwa, beberapa Ahli Parlimen lain dari parti Pas turut bersetuju dengan desakan tersebut yang akhirnya membawa kepada pengumuman peletakan jawatan Mahiaddin berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Katanya, beliau adalah orang yang menyediakan surat peletakan jawatan Mahiaddin untuk dihantar kepada Presiden-Presiden parti anggota PN keesokannya. 

Beliau juga membaca mesej-mesej dalam kumpulan whatsapp Ahli-Ahli Parlimen PN yang tular.

Namun tidak didedahkan siapa pemimpin Pas terbabit yang mendesak peletakan jawatan Pengerusi PN.

BACA JUGA Ada kamu hormat kawan bila lantik calon PM tanpa bincang