Jelajah Back to School Parlimen Bandar Tun Razak 2026 Berakhir, 1,821 Pelajar Tingkatan Lima Terima Sumbangan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Ceria ke Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bersama Datuk Azman Abidin; Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri di Wisma KTC , Jalan Dewan Kuala Lumpur. 11hb Januari 2026 (Ahad)

Seramai 1,821 pelajar tingkatan lima dari seluruh sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan menerusi Program Ceria ke Sekolah Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak 2026 yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, dalam satu majlis di Wisma KTC, Jalan Dewan Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah menegaskan bahawa Program Ceria ke Sekolah bukan sekadar inisiatif menyampaikan bantuan atau sumbangan, sebaliknya bertujuan memberi sokongan moral dan motivasi kepada para pelajar agar lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, SPM merupakan satu penanda aras penting dalam kehidupan pelajar dan akan menentukan hala tuju masa depan mereka. Justeru, para pelajar digesa agar terus berusaha bersungguh-sungguh, berazam tinggi serta tidak mudah berputus asa dalam menempuh cabaran akademik dan kehidupan.

“Anak-anak sekalian adalah masa depan negara. Dalam keadaan Malaysia yang aman dan stabil, kita mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki diri dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah turut menekankan kepentingan pembentukan jati diri, akhlak mulia dan nilai kemanusiaan, selain kecemerlangan akademik.

Menurut beliau, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian pelajaran, tetapi juga melalui sikap saling membantu, menghormati ibu bapa dan guru serta memiliki hati budi yang baik.

Beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa menghargai jasa ibu bapa dan guru yang telah mendidik serta membimbing mereka hingga ke tahap ini, di samping menanam keyakinan diri dan cita-cita yang jelas untuk masa hadapan.

“Tiada kejayaan yang datang tanpa usaha. Setiap insan akan diuji dalam kehidupan, namun dengan ketabahan, kekuatan dalaman dan keazaman, insya-Allah kita mampu melaluinya,” ujar beliau.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Dato’ Seri Dr Wan Azizah secara rasmi merasmikan Program Ceria ke Sekolah Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak 2026, sambil mendoakan agar semua pelajar yang terlibat mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Presiden Wisma KTC selaku tuan rumah, wakil Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu, Majlis Perwakilan Penduduk Zon Bandar Tun Razak, pengetua-pengetua sekolah menengah serta para pelajar yang terlibat. selain barisan kepimpinan setempat, wakil agensi kerajaan, pihak sekolah serta para pelajar tingkatan lima dari sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.

Menurut Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menyifatkan Program Ceria ke Sekolah Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam menyokong kebajikan serta pembangunan pendidikan pelajar, khususnya calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Datuk Azman, komitmen berterusan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dalam menganjurkan program kebajikan pendidikan seperti Jelajah Back to School wajar dipuji kerana memberi manfaat langsung kepada pelajar dan keluarga. Bagi siri kelima yang juga siri terakhir tahun ini, seramai 1,821 murid tingkatan lima dari seluruh sekolah menengah di kawasan parlimen berkenaan telah menerima sumbangan.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh yang menggabungkan sumbangan fizikal serta sokongan moral amat penting bagi memastikan pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran akademik dan kehidupan seharian.

“Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, malah memberi mesej jelas bahawa kerajaan dan wakil rakyat sentiasa prihatin terhadap masa depan anak-anak, khususnya generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara,” katanya.

Datuk Azman turut memuji kelainan sumbangan pada siri terakhir jelajah apabila setiap pelajar tingkatan lima menerima beg khas yang dicetak nama, sekolah dan tingkatan masing-masing, yang disifatkan sebagai simbol penghargaan dan kenangan bermakna sebelum melangkah ke alam dewasa.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai teras utama pembangunan negara selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, peluang saksama dan pembinaan modal insan berkualiti.

Dalam masa sama, beliau menggesa para pelajar agar memanfaatkan segala bantuan dan peluang yang diberikan sebaik mungkin, selain terus menghargai jasa ibu bapa, guru dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

.
Program Ceria ke Sekolah dan Jelajah Back to School Parlimen Bandar Tun Razak 2026 telah memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 murid sekolah rendah dan menengah, dan diharapkan dapat terus menjadi pemangkin semangat kepada pelajar serta menyokong kelancaran permulaan sesi persekolahan baharu.