Kebangkitan rakyat Barat ubah landskap sokongan terhadap Palestin – George Galloway

FOTO BERITA: Bekas Ahli Parlimen United Kingdom, George Galloway menegaskan bahawa perjuangan membela Palestin kini memasuki fasa baharu dengan kebangkitan kesedaran rakyat di Eropah dan dunia Barat, sekali gus memberi tekanan besar terhadap kerajaan-kerajaan yang selama ini menyokong atau berdiam diri terhadap kezaliman Israel.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Wacana bersama George Galloway yang berlangsung di TAMU Hotel, Kuala Lumpur. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pimpinan Parti Amanah Negara, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar serta hadirin pelbagai latar belakang.

Dalam ucapannya, George Galloway merakamkan penghargaan kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia atas sambutan serta sokongan padu terhadap perjuangan Palestin, sambil menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang konsisten menyuarakan keadilan dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berkongsi pengalaman lebih lima dekad penglibatannya dalam politik Britain dan perjuangan membela Palestin, termasuk peranannya di Parlimen British sejak tahun 1980-an. Menurutnya, sokongan terhadap Palestin yang suatu ketika dahulu hanya disertai segelintir aktivis, kini telah berkembang menjadi jutaan rakyat yang turun ke jalanan di Britain, Eropah dan Amerika Syarikat.

“Perubahan ini datang dengan harga yang mahal, namun ia membuktikan bahawa kesedaran rakyat mampu mengubah arus sejarah,” katanya.

George Galloway turut mengakui peranan Britain dalam tragedi Palestin sejak era penjajahan, namun menegaskan bahawa rakyat Britain hari ini semakin sedar dan berani menentang dasar luar negaranya sendiri yang menyumbang kepada penderitaan rakyat Palestin.

Dalam konteks geopolitik semasa, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sikap agresif Amerika Syarikat, khususnya di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, yang menurutnya bukan sahaja mengancam musuh, malah sekutu sendiri. Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai petanda perubahan besar dalam hubungan antarabangsa, termasuk keretakan hubungan antara Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Menurut George Galloway, Eropah kini berdepan dilema baharu, bukan kerana ancaman dari Rusia, tetapi akibat tekanan dan tindakan unilateral Amerika Syarikat yang semakin mencabar kestabilan global.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru pembentukan solidariti antarabangsa merentasi negara, parti politik dan gerakan rakyat, termasuk kerjasama antara negara seperti Malaysia dan Britain, dalam memperjuangkan keadilan sosial, hak asasi manusia dan pembebasan Palestin.

Majlis wacana tersebut menjadi platform penting pertukaran pandangan mengenai geopolitik global, peranan kuasa besar dunia serta masa depan perjuangan Palestin dalam landskap politik antarabangsa yang semakin berubah.
