Pengerusi Serantau Muslim didakwa seleweng dana orang ramai
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan terlibat aktiviti seleweng sumbangan orang ramai sebanyak RM207,000.
Sumbangan derma itu bagi bantuan kemanusiaan di Palestin dan beberapa negara lain.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azrul Darus selepas pertuduhan dibacakan.
Dia dituduh menyalahgunakan dana yang bertujuan untuk misi kemanusiaan yang dijalankan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin di sebuah bank di Jalan Sultan Hishamuddin pada 27 Dis 2019.
Tuduhan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Memetik NST, Mohd Hakim dijangka menghadapi lebih banyak pertuduhan selepas ini.
Terdahulu media melaporkan sekurang-kurangnya tiga NGO ‘popular’ berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.
BACA JUGA Dah masuk 2026 masih lagi nak main isu perkauman