Tiga perkara yang dibangkitkan Sultan Selangor dalam pertemuan dengan exco pagi ini

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah membangkitkan tiga perkara berhubung kontroversi penternakan babi di negeri ini kepada dua orang anggota kerajaan negeri iaitu Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

“Pertama, Baginda menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat,” titah baginda di dalam satu kenyataan media hari ini.

“Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.

“Kedua, satu kajian yang terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Negeri Selangor sahaja.

“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut. Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.

“Ketiga, Baginda menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.

“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.”

BACA JUGA: Penternakan babi di Kuala Langat dan kawasan sekitar akan dipercepatkan pemindahannya