Bersatu terima Mahiaddin letak jawatan Pengerusi PN

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menerima keputusan Presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung parti pembangkang itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata MPT menerima keputusan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan selepas mendengar hujah Mahiaddin mengenainya pada mesyuarat MPT parti malam tadi.

“Bagaimanapun, MPT juga membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju PN dalam persiapan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.

“MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi.

Dalam masa sama, Azmin, berkata MPT melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang melempar fitnah bahawa Bersatu mengkhianati persefahaman dalam PN, susulan krisis politik yang berlaku di Perlis.

Parti serpihan UMNO yang ditubuhkan pada 2016 itu turut menafikan sebarang pembabitan dalam krisis kepemimpinan di negeri itu.

MPT jelasnya, mendengar penjelasan daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengenai krisis politik di Perlis yang berlarutan sekian lama dan berpuas hati dengan penjelasan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkenaan.

“MPT menasihati Menteri Besar dan Badan Pimpinan Negeri untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dalam PN Perlis dan akan terus menjunjung titah nasihat Tuanku untuk membangunkan Perlis, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” kata Azmin.

Pertelagahan

Pada masa, katanya lagi, MPT menyambut nasihat Presiden supaya ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.

Terdahulu, Mahiaddin telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN, yang merupakan jawatan teratas dalam gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Peletakan jawatan itu menyaksikan penarikan diri pemimpin Bersatu lain daripada jawatan PN, termasuk Setiausaha Agung dan ketua negeri sekaligus menandakan krisis dalaman PN yang serius.

Pertelagahan antara Bersatu dan Pas dalam PN dilihat tercetus ekoran perebutan kuasa dan pertikaian struktur kepimpinan.

Pertukaran Menteri Besar di Perlis daripada wakil Pas kepada Bersatu dikatakan mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Pas.

Selain itu, Pas dan Bersatu berbeza pendapat tentang siapa yang patut menjadi pemimpin PN dan calon Perdana Menteri jika menang pilihan raya akan datang.

Pas mahu peranan lebih dominan sementara Bersatu sebelum ini menamakan Mahiaddin sendiri manakala Pas pula menawarkan diri untuk menerajui PN.

BACA JUGA Krisis PN: Apabila gelojoh, tidak setia dan hilang kelayakan memimpin ummah