Hannah Yeoh menang saman, Musa Hassan diperintah bayar RM250,000 kerana memfitnah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memenangi saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM60,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana memfitnah Hannah dalam satu forum di UiTM, enam tahun lalu.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman Hannah terhadap Musa.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Azimah Omar berkata, Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam keputusannya ketika menolak saman Hannah.

Sementara itu dalam sidang media tadi, Hannah berkata, selama enam tahun beliau terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan dan fitnah yang berlegar di media sosial yang bukan sahaja mencemarkan nama baiknya malah turut mengelirukan orang ramai.

Beliau berkata, kes tersebut bermula apabila Musa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam forum di UiTM dengan mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan gerakan Kristianisasi.

Katanya, Musa memfitnah dengan mengaitkannya dengan kumpulan Evangelis dan golongan Yahudi.

BACA JUGA Akmal bakal jumpa Presiden UMNO petang ini