KPDN Selangor dan IPK Selangor tumpas aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di Shah Alam

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menumpaskan satu kegiatan urus niaga tidak sah melibatkan bahan api diesel bersubsidi dalam satu operasi bersepadu,. (Gambar: UKK KPDN)

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 8.30 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 20 anggota, terdiri daripada 10 pegawai KPDN Selangor dan 10 anggota IPK Selangor. Tindakan ini dibuat hasil maklumat risikan selama lebih kurang sebulan yang mensasarkan sebuah premis di sekitar Shah Alam yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi. Hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan jenis lori kontena berada di premis berkenaan, dipercayai digunakan untuk membawa bahan api diesel tanpa dokumen sah. Pemeriksaan lanjut mendapati struktur badan lori kontena tersebut telah diubah suai dengan pemasangan satu unit Steel Square Tank berkapasiti anggaran 18,000 liter yang disyaki mengandungi bahan api diesel.

Pengubahsuaian lori kontena itu dipercayai bertujuan untuk menjalankan aktiviti pengisian bahan api diesel yang dibeli daripada stesen minyak berhampiran. Susulan itu, pihak penguat kuasa turut menemui sebanyak 54 keping resit pembelian bahan api di dalam lori berkenaan. Selain itu, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api diesel turut dirampas. Semasa serbuan, arahan untuk mengisytiharkan stok serta mengemukakan maklumat dan dokumen telah dikeluarkan kepada pemandu lori kontena di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961. Hasil operasi ini turut membawa kepada penahanan lima lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan lori dan penjaga premis. Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan lanjut termasuk rakaman percakapan.

Dalam operasi tersebut, sitaan telah dibuat ke atas sebuah lori kontena yang mengandungi satu unit Steel Square Tank serta dua unit Skid Tank yang disyaki berisi bahan api diesel. Anggaran keseluruhan bahan api diesel yang dirampas mencecah kira-kira 21,000 liter dengan nilai dianggarkan sebanyak RM60,690.00, manakala nilai keseluruhan sitaan dianggarkan melebihi RM300,000.00.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan fokus siasatan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran bekalan, termasuk sumber diesel bersubsidi tersebut diperoleh dan diedarkan.

Antara potensi kesalahan yang dikenal pasti adalah di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, dibaca bersama Peraturan 3(1). Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen sah. Selain itu, kesalahan turut melibatkan pelanggaran Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mendapatkan bekalan barang kawalan daripada pembekal tidak berlesen, yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 21 peraturan yang sama.

KPDN Selangor memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan. Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], dengan hukuman denda tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya. Bagi syarikat, denda boleh mencecah sehingga RM2,000,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5,000,000 bagi kesalahan seterusnya.