Nelayan PD, Telok Kemang terima bantuan tabung bencana LKIM
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah memperuntukkan RM93,600 di bawah Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan untuk membantu 49 nelayan di Port Dickson dan Telok Kemang yang terkesan akibat Taufan Senyar pada bulan Nov 2025.
“Petang ini saya mengiringi YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyantuni 49 orang nelayan di bawah seliaan PNK Port Dickson dan PNK Telok Kemang yang berada di dalam Parlimen Port Dickso yang ditimpa bencana taufan senyar November 2025 yang lalu.
“Nelayan yang terlibat ini kebanyakannya mengalami kerugian dari sudut kerosakan bot dan peralatan tangkapan ikan dan mereka memerima bantuan dari RM500 sehingga RM10,000 bergantung kepada nilai kerosakan yang mana LKIM memperuntukkan RM93,600 di bawah Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyumbang sebanyak RM15,500,” kata pengerusi LKIM, Faiz Fadzil dalam satu hantaran di Facebook semalam.
LKIM mempunyai peruntukan RM2 juta setahun di bawah Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.
Selain itu, 216 nelayan di Port Dickson menerima elaun sara hidup, 211 menerima subsidi petrol dan 22, subsidi diesel.
Seramai 64 nelayan Telok Kemang menerima elaun sara hidup dan 106 nelayan menerima subsidi petrol
Nelayan di Negeri Sembilan, majoritinya terdiri daripada nelayan pesisir pantai.
Hasil tangkapan ikan mereka adalah terendah dalam negara, iaitu 355 tan pada 2024.
Ia disebabkan oleh kawasan laut kecil yang dikekang dengan pembangunan di kawasan pantai.
BACA JUGA: LKIM bantu pemasaran ikan dengan peruntukan RM10,000