Tular imej pasport, IC baharu, KDN sahkan tidak sahih

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan imej reka bentuk pasport dan MyKad baharu yang tular di media sosial bukanlah imej rasmi dan tidak pernah dikeluarkan oleh KDN. 

Dalam satu kenyataan petang ini, KDN memaklumkan rekaan visual itu tidak sahih dan tidak menggambarkan reka bentuk sebenar pasport atau MyKad baharu seperti yang didakwa.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membuat pengumuman rasmi berkaitan perancangan pelaksanaan pasport dan MyKad baharu pada tahun ini. 

Segala maklumat rasmi berkaitan reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan pasport dan MyKad ini akan diumumkan oleh KDN melalui saluran komunikasi rasmi KDN dari semasa ke semasa.

Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan berautoriti bagi memastikan ketepatan serta kesahihan sesuatu maklumat.

Maklumat rasmi dan perkembangan terkini berkaitan perkara ini boleh diperoleh melalui saluran media rasmi serta laman sesawang KDN, Jabatan dan agensi Kerajaan yang berkaitan iaitu Kementerian Dalam Negeri – www.moha.gov.my, Jabatan Imigresen Malaysia – www.imi.gov.my dan Jabatan Pendaftaran Negara – www.jpn.gov.my.

BACA JUGA Zahid beri nasihat terbaik untuk Akmal