“Kita Mesti Bersama” – ZRA seru komitmen dan fokus dalam perjuangan Palestin

FOTO BERITA: “Bicara Intelektual Palestin Kita Mesti Bersama” bersama Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA) anjuran Akademi Kepimpinan Malaysia (NEXT) di Pelantaran WTC Kuala Lumpur. 13hb Januari 2026 (Selasa)

Program “Bicara Intelektual Palestin: Kita Mesti Bersama” anjuran Akademi Kepimpinan Malaysia (NEXT) telah berlangsung dengan jayanya di Pelantaran World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, pada Selasa. Program ini menampilkan tokoh aktivis dan penganalisis isu Palestin, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA), yang berkongsi pandangan mendalam berkaitan perjuangan Palestin dari sudut kemanusiaan, geopolitik dan pembinaan disiplin gerakan.

Dalam ucapan pembukaannya, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad memulakan bicara dengan lafaz kesyukuran dan selawat, sebelum merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NEXT atas jemputan buat kali kedua selepas program terdahulu di Dewan UTM. Beliau turut menyeru para hadirin agar memenuhi ruang dewan dan menekankan bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan perjuangan tidak bermula dengan laungan semata-mata, sebaliknya dengan disiplin dan komitmen yang tinggi.

Menurut beliau, terlalu banyak seruan tanpa disiplin hanya akan melelahkan kepimpinan dan melemahkan gerakan. Justeru, beliau menggesa semua pihak yang prihatin terhadap isu Palestin agar mengutamakan disiplin, fokus dan kesungguhan bagi memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak sebenar.

Sebagai pengisian awal program, Tuan Haji Zainal memperkenalkan dan mempromosikan filem “The Voice of Hind Rajab”, sebuah karya berteraskan kisah benar yang diterbitkan dengan tahap disiplin dan komitmen yang tinggi oleh penggiat filem Islam dan bukan Islam. Beliau turut menyebut peranan penting penerbit, termasuk seorang wanita yang mendedikasikan karya ini kepada momen kesyahidan Hind Rajab dan ahli keluarganya, serta sokongan pembiayaan daripada dua bintang Hollywood terkenal.

Mengulas perkembangan semasa Palestin, Tuan Haji Zainal menjelaskan bahawa apa yang sedang berlaku ketika ini membuka ruang harapan dalam tempoh terdekat. Beliau memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Pelaksana bagi pembentukan Board of Governance telah diumumkan, dengan Syeikh Al-Hussein dilantik untuk mewakili penduduk Gaza.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diluluskan pada 17 November 2025. Resolusi ini dibawa melalui usul Amerika Syarikat dengan penelitian dasar oleh Sepanyol dan Kanada, serta sokongan beberapa negara Islam termasuk Mesir, Arab Saudi dan Qatar. Menurut beliau, pelaksanaan resolusi tersebut yang dijangka bermula sekitar 15 Januari atau selewat-lewatnya 21 Januari 2026, disifatkan sebagai kemenangan terbesar umat Islam dan gerakan hak asasi manusia dunia selepas hampir 790 hari perjuangan menuntut keadilan buat Gaza.

Dalam suasana dewan yang besar dan memerlukan fokus tinggi, Tuan Haji Zainal menjelaskan bahawa tema kemanusiaan dipilih sebagai pendekatan awal agar mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Tayangan promosi filem The Voice of Hind Rajab turut diadakan bagi memberi gambaran jelas kepada hadirin tentang tragedi yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang syahid pada 29 Januari di Tal Al-Hawa, Gaza City, ketika cuba menyelamatkan diri bersama bapa saudara dan sepupunya dalam situasi kepungan tentera Israel.

Filem tersebut memaparkan bagaimana suara rayuan Hind yang berjaya dirakam oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menjadi bukti kekejaman operasi ketenteraan yang menyasarkan orang awam, termasuk kanak-kanak. Menurut Tuan Haji Zainal, filem ini mula ditayangkan di Malaysia pada 8 Januari 2026 di 32 pawagam dan berpotensi diperluaskan ke lebih 40 pawagam bergantung kepada sokongan penonton.

Beliau turut berkongsi pencapaian filem tersebut di peringkat antarabangsa, apabila jumlah tontonan berjaya mengatasi beberapa negara Eropah. Ini, katanya, membuktikan bahawa kisah penderitaan rakyat Palestin mampu menyentuh hati masyarakat dunia tanpa mengira latar agama. Mengakhiri bicara, Tuan Haji Zainal menyentuh kepentingan sejarah dan intelektual Palestin dengan merujuk tokoh penulis dan pejuang terkenal, Ghassan Kanafani, yang kehidupannya mencerminkan penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin sejak peristiwa Nakbah 1948. Kisah Ghassan, menurut beliau, bukan sekadar kisah individu, tetapi lambang generasi yang terpaksa terusir dari tanah air dan membina perjuangan melalui pena, pemikiran dan kesedaran.

Program “Bicara Intelektual Palestin: Kita Mesti Bersama” bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan maklumat terkini, malah berperanan menyatukan suara, disiplin dan komitmen masyarakat dalam menyokong perjuangan Palestin secara berterusan, berprinsip dan berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat.
