“Semua parti Melayu berhujah dengan al- Quran sama, hadis sama, tapi tujuannya untuk menangkan ideologi sendiri” -ZRA

FOTO BERITA: Tokoh aktivis dan pemikir, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menegaskan bahawa tujuan beliau membentangkan pelbagai topik sejarah, ideologi dan perjuangan umat bukan untuk memberikan jawapan mudah, sebaliknya untuk membentuk ketajaman berfikir dalam kalangan pemimpin muda.

Menurut beliau, majoriti peserta yang hadir dimaklumkan terdiri daripada golongan pemimpin muda, justeru pendekatan yang diambil adalah dengan menyampaikan pengajaran dan renungan, bukan jawapan yang bersifat mutlak.

ZRA menjelaskan bahawa dalam realiti semasa, hampir semua pihak mampu berhujah atas nama kebenaran berasaskan al-Quran dan hadis, serta mendakwa ideologi masing-masing tidak bercanggah dengan Islam. Namun, hakikatnya, kebenaran yang sama itulah sering menjadi punca perpecahan, apabila ia ditunggang untuk memenangkan ideologi dan kepentingan sendiri.

Beliau mengingatkan agar generasi pemimpin muda berhati-hati supaya al-Quran dan hadis tidak dijadikan alat memecah-belahkan umat, sebaliknya menjadi sumber penyatuan dan keinsafan . “Semua parti Melayu berhujah dengan al-Quran yang sama, hadis yang sama, tetapi tujuannya sering untuk memenangkan ideologi sendiri,” ujarnya.

Dalam pembentangannya, ZRA turut membawa rentetan sejarah panjang orang Melayu, khususnya sejarah Kedah dan Melaka, sebagai bukti bahawa kejatuhan dan kelemahan umat sering berpunca daripada pengkhianatan sesama sendiri, perebutan kuasai dan perpecahan puak, sebelum datangnya fatwa atau penyatuan yang terlambat.

Beliau mengimbas sejarah kejatuhan Melaka yang bukan bermula dengan serangan Portugis semata-mata, tetapi didahului oleh perbalahan dalaman dan pembelotan di sekeliling istana. Malah, menurut beliau, fatwa jihad untuk membebaskan Melaka hanya muncul hampir satu abad selepas pengkhianatan berlaku.

ZRA turut mengangkat kisah Syekh Samsudin Al-Sumatra, seorang ulama besar dari Pasai, yang bersama Panglima PD dari Aceh membawa mandat ulama bahawa sesiapa yang berjuang membebaskan Melaka daripada Portugis dijanjikan pahala jihad. Namun perjuangan tersebut berakhir dengan kesyahidan ratusan pejuang, menjadi simbol pengorbanan yang lahir selepas perpecahan lama berlaku.

Beliau turut merujuk sejarah Kedah, di mana pengkhianatan berlaku pada tahun 1821, namun penyatuan melalui fatwa hanya muncul pada 1837, menunjukkan jurang masa panjang antara kesilapan dan kesedaran. Menurut ZRA, beliau sengaja tidak memberikan jawapan langsung kepada persoalan ideologi kerana bimbang ia akan mematikan daya fikir peserta.

“Kalau saya beri soalan dan jawapan, mungkin saya kelihatan hebat. Tapi yang hebat sebenarnya ialah tuan-tuan yang akan pulang dan berfikir,” katanya. Beliau menegaskan bahawa generasi lama kini berada di penghujung peranan kepimpinan, manakala masa depan terletak di tangan pemimpin muda yang perlu memiliki keupayaan berfikir, merenung dan mengambil iktibar daripada sejarah.

Mengakhiri ucapannya, ZRA menekankan bahawa dalam tradisi Islam, sejarah bukan sekadar catatan objektif peristiwa, tetapi alat keinsafan untuk mengelakkan kesilapan berulang. “Sejarah tidak memerlukan jawapan. Sejarah memerlukan renungan. Yang terbaik daripada sejarah ialah keinsafan,” tegas beliau.

Beliau menyeru agar pemimpin masa depan menjadikan sejarah sebagai panduan kepimpinan yang matang, berprinsip dan berpaksikan kebijaksanaan, demi mengelakkan perpecahan yang sama daripada berulang dalam negara dan umat.