Cerita ladang babi kisahnya begini…

OLEH JAMZURI ARDANI

Ada orang sergah saya. Dia sebut, “Hei ko memang sial laa … negara ni majoriti Melayu. Buat apa kerajaan sibuk nak bela babi?”

Dia gini. Kerajaan tak bela babi. Kerajaan juga tak bela lembu, kambing, dan ayam. Kerajaan juga tak bela rakyat yang tak mahu guna otak. 

Bukan kerja kerajaan menternak haiwan. Tugas kerajaan ialah mengawal aktiviti penternakan. Rakyat yang buat aktiviti penternakan. Kerajaan buat polisi. 

Antara polisi yang kerajaan buat ialah mengetatkan peraturan penternakan, termasuk penternakan babi. Kena patuh pelbagai syarat baru. 

Bila polisi dan peraturan hendak dikuatkuasakan, pastinya ada isu yang timbul. Contohnya, peraturan baru tetapkan ladang babi mesti dibuat secara tertutup dan tiada lagi sisa ladang yang boleh dibuang.  Semuanya mesti dikutip, dirawat, dan dikitar semula untuk mengurangkan pencemaran dan risiko penyakit. 

Pengusaha-pengusaha ladang yang kecil tidak mampu mematuhi peraturan ini kerana kos yang mahal dan tiada skala ekonomi yang boleh menanggung kos tersebut. 

Memang mudah kita cakap, kalau tak mampu tutup aje laa … buat apa bela babi … banyak benda lain lagi boleh makan. Itu kita cakap. 

Tapi kerajaan tidak boleh bersikap begitu. Parti mana pun yang jadi kerajaan di Selangor tidak akan bertindak begitu. Sebab tu masa Pas jadi Exco Pertanian di Selangor dan Perak, ladang babi tetap ada dan lesen ternak babi terus dikeluarkan. 

Kerajaan kena jadi pemudahcara. Antara solusi yang dibuat ialah membenarkan pihak swasta membina ladang babi yang boleh memenuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan di tanah milik persendirian. 

Oleh kerana kosnya mahal, ia perlu kepada skala ekonomi yang sepadan. Sebab itu diusahakan supaya lebih 100 ladang babi sedia ada ini ditutup kerana tidak mampu mematuhi peraturan, dan populasi babi dipindahkan ke ladang baharu yang memenuhi syarat yang ketat tadi. Itulah rasionalnya kenapa saiznya perlu besar. 

“Kenapa tak buat ladang kecil sahaja, ramai sangat ke yang makan babi?”, ada yang tanya. 

Jika ladang itu kecil, ia tidak akan mempunyai skala ekonomi yang mampu menanggung kos pembinaan ladang moden dan selamat. 

Membenarkan ladang-ladang kecil terus beroperasi tidak akan selesaikan masalah. 

Ibarat kebun. Kalau ladang sawit sekadar 100 ekar, takkan kita nak buat kilang sendiri untuk proses minyak sawit. Tak berbaloi. Kenalah ada ratus ribu ekar, baru berbaloi.  Itu contoh. 

Ladang babi yang moden ni, najis babi tak boleh dibuang begitu sahaja. Kena kutip dan diproses sebagai sumber biogas bagi menghasilkan tenaga elektrik. 

Kalau ladang babi tu cuma pelihara beberapa ribu ekor babi sahaja, tak berbaloi nak buat kilang biogas. 

Populasi babi dalam satu kandang juga tak boleh terlalu banyak. Tak boleh bersesak dalam satu kandang . Ada hadnya. Antara satu kandang dengan kandang yang lain juga perlu ada zon penampan yang selamat supaya penyakit tidak mudah berjangkit. 

Ini tidak praktikal untuk dilaksanakan dalam ladang-ladang yang kecil. Sebab itu ia perlu kepada skala ekonomi yang sepadan dengan kos pematuhan kepada syarat yang ditetapkan. 

Sebab itu saya sokong usaha ini kerana ianya inisiatif yang baik untuk maslahat semua orang. Orang nak maki hamun saya … itu pilihan masing-masing. 

Kita semua akan mati dan kembali kepada Tuhan yang satu. Di sana akan ada perhitungan. 

Saya tidak makan babi. Saya tidak kenal mana-mana tauke babi. Saya tak ada sebarang kepentingan dalam isu ini. Saya hanya menyokong usaha yang baik oleh kerajaan.

BACA JUGA SG4 menuju jalan mati, Pas dicabar bentang ‘report card’ prestasi 4 negeri