Ini rupanya punca beberapa kawasan di Malaysia sejuk sampai kena pakai jaket tebal

Sejak beberapa hari lalu beberapa kawasan di Malaysia mengalami sejuk luar biasa sehingga merekodkan 18 darjah Celsius.

Malah beberapa kawasan mecatatkan suhu yang lebih rendah daripada kebiasaan, iaitu menurun antara tiga hingga lima darjah Celsius pada 10 hingga 13 Januari lepas.

Mengulas hal ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan yang berlaku ketika ini adalah normal disebabkan angin yang datang adalah dari kawasan sejuk.

Berdasarkan data, keadaan suhu sama dijangka berulang pada 19 hingga 21 Januari, bergantung kepada pola angin luruan.

“Semalam suhu sudah kembali normal. Bukan di Dungun, Terengganu sahaja tetapi banyak tempat seperti di kawasan pedalaman Dabong dan Gua Musang, masing-masing di Kelantan turut merekodkan suhu 18 darjah Celsius.

“Memang normal sekarang ini suhu di negara ini sejuk sedikit sebab anginnya yang datang dari kawasan sejuk,” katanya memetik Bernama.

Mohd Hisham berkata suhu rendah itu kebanyakannya berlaku pada awal pagi dan orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan berkenaan.

Terdahulu media melaporkan, suhu sejuk antara 18 hingga 20 darjah Celsius di Dungun menyebabkan penduduk terpaksa memakai jaket tebal bagi memanaskan badan.

BACA JUGA Takfiri, tebuk atap dan kuasa: Membongkar fikrah politik Hadi Awang