Pasaran buruh stabil, pengangguran terendah 10 tahun dalam Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026

FOTO BERITA: Majlis Perhimpunan Bulanan & Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KESUMA di Dewan Utama, aras 7, Menara PERKESO, Putrajaya. 15hb Januari 2026 (Khamis)

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kebajikan pekerja, melonjakkan pembangunan kemahiran serta mempercepatkan reformasi perburuhan negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, yang menggariskan hala tuju strategik kementerian bagi menghadapi cabaran dan keperluan pasaran buruh masa hadapan.

Menurut beliau, KESUMA pada tahun 2026 akan memberi tumpuan utama kepada pelaksanaan Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) 2026–2030, selain melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap 26 undang-undang buruh. Usaha pendigitalan perkhidmatan juga akan dipercepatkan, melibatkan sistem utama seperti Mahkamah Buruh dan platform Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, telus dan berkesan kepada rakyat.

Dalam memperkukuh perlindungan pekerja, KESUMA akan melaksanakan kajiaqn semula Perintah Gaji Minimum, memperluas pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam, serta mempertingkat keharmonian perusahaan menerusi pembangunan Indeks Keharmonian Industri Nasional. Di samping itu, peranan kesatuan sekerja serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan terus diperkasakan.

Agenda peningkatan kemahiran negara pula akan dipacu melalui pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan sasaran mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030. KESUMA juga akan memperluas latihan bersasar, termasuk peruntukan tambahan RM100 juta melalui Pembangunan Tenaga Kerja (PTPK) khusus untuk pekerja gig e-hailing dan p-hailing, serta mengukuhkan rantaian bakat negara menerusi inisiatif seperti Geran LIKES TalentCorp dan pembangunan sektor ekonomi berimpak tinggi High Growth High Value (HGHV).

Dalam amanat yang sama, YB Menteri merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu serta seluruh warga KESUMA atas pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2025. Antara pencapaian utama termasuk pelaksanaan penuh Gaji Minimum RM1,700 yang memberi manfaat kepada lebih 4.4 juta pekerja, peluasan perlindungan kepada 1.2 juta pekerja gig menerusi penggubalan Akta Pekerja Gig 2025, serta pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO yang kini melindungi seramai 9.6 juta pencarum.

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar pengangguran negara telah menurun kepada 3.2 peratus, paras terendah dalam tempoh 10 tahun, dengan lebih 100,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan hasil kestabilan pasaran buruh dan pelaksanaan dasar yang bersasar.

“Setiap dasar dan inisiatif KESUMA berpaksikan prinsip memudah cara rakyat, memastikan setiap pekerja menikmati kehidupan yang bermaruah serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab sumber manusia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.




