SG4 menuju jalan mati, Pas dicabar bentang ‘report card’ prestasi 4 negeri
AMANAH melihat pakatan empat negeri ditadbir pembangkang atau SG4 kini menuju jalan mati, mejangkakan tiada lagi masa depan bersama ekoran pertelingkahan berterusan Pas-Bersatu dalam isu Menteri Besar Perlis.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, sejak penubuhan SG4 Group Sdn Bhd oleh empat negeri pembangkang pada 2023, sehingga kini, tidak ada satu pun pelaburan yang dibawa masuk oleh syarikat itu.
Beliau mencabar Pas untuk membentangkan “report card” SG4 secara terbuka supaya rakyat dapat mengukur kemampuan gabungan itu dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi, dan bukannya bergantung kepada permainan sentimen kaum dan agama sahaja.Â
“Mujur agensi-agensi Persekutuan bawah Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membawa masuk pelaburan ke negeri-negeri SG4 tanpa diskriminasi.
“Di Kedah, misalnya, majoriti pelaburan berlaku di Kulim Hi-Tech Park, yang diterajui oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah mengakui bahawa perkembangan syarikat SG4 Group Sdn Bhd adalah perlahan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Faiz berkata, tatkala Pas-Bersatu lebih mengutamakan permainan politik berbanding sosioekonomi rakyat, Kerajaan Madani terus menggerakkan agenda pembangunan rakyat.Â
Ia jelas dibuktikan melalui Perutusan Tahun Baharu Perdana Menteri yang mengumumkan suntikan tunai RM15 bilion melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, sekaligus memperkukuh kuasa beli rakyat.
Selain itu menurutnya, fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam bernilai RM8 bilion akan menaikkan kemampuan rakyat berbelanja dan menaiktaraf kualiti hidup.Â
“Pembangunan Islam terus diutamakan dengan peruntukan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz.
“Perdana Menteri turut mendengar keluhan golongan perniagaan. Kadar cukai perkhidmatan atas sewa untuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana telah dipotong walaupun ia akan mengurangkan pendapatan kerajaan sebanyak setengah bilion ringgit setahun.
“Sektor pertanian turut diberikan perhatian apabila cukai jualan dikecualikan atas makanan ternakan, baja dan racun serangga. Ini akan membantu mengekalkan kos produk pertanian,” ujarnya.
Satu lagi elemen penting dalam perutusan tersebut adalah komitmen Perdana Menteri dalam menjalankan reformasi institusi.
Ini termasuklah janji memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal atau 10 tahun.
Justeru kata Faiz, rakyat harus menilai kemampuan Kerajaan Madani secara adil kerana sepanjang 3 tahun mentadbir, 773 inisiatif sudah berjaya dilaksanakan.
BACA JUGA Tok Mat nasihat jangan ikut emosi, keluar kerajaan akan cetus huru hara