Ucapan Zahid maksudkan MP Bersatu dialu-alukan kembali ke UMNO
Ucapan Presiden UMNO, Datuk Dr Zahid Hamidi yang menyebut “buka pintu jangan seluasnya, tutup pintu tidak serapatnya”, boleh ditafsir seperti mengalu-alukan bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke Bersatu untuk kembali ke pangkuan parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau percaya itulah maksud sebenar yang mahu disampaikan Zahid ketika taklimat presiden semalam.
“Pada kefahaman saya sebenarnya ia ditujukan kepada ahli Ahli Parlimen Bersatu yang berasal dari UMNO tetapi melompat parti.
“Mereka ini dialu alukan kembali ke pangkuan UMNO. Tetapi mestilah ada benda yang mesti dipersetujui bersama (itu maksud pintu tidak dibuka seluas luasnya atau ditutup serapat rapatnya),” katanya dalam hantaran di Facebook.
Puad berkata, ucapan Ahmad Zahid itu sama sekali tidak berkait dengan Khairy Jamaluddin atau Hishammuddin kerana kedua-duanya tidak melompat parti.
Ujarnya, jika berlaku gerakan di mana Ahli-Ahli Parlimen Bersatu kembali kepada UMNO, maka tidak mustahil Bersatu bakal mengikut jejak parti Semangat 46 yang dibubarkan.
“Kalau itu berlaku, maka peristiwa parti Semangat 46 berulang lagi dan parti itu dibubarkan. Maka tidak mustahil ini berlaku kepada Bersatu.
“Sebab itu Mahiaddin letak jawatan dalam Perikatan Nasional lebih awal. Itu petanda dia hilang kawalan terhadap Bersatu,” ujarnya.
BACA JUGA SG4 menuju jalan mati, Pas dicabar bentang ‘report card’ prestasi 4 negeri