Kemenangan untuk netizen, MOF tarik balik SARA, STR dari lelaki mengaku ada 6 rumah sewa

Baru-baru ini tular perkongsian seorang individu yang berbangga mengaku memiliki enam buah rumah sewa tetapi masih mendapat bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari kerajaan.

Perkongsian itu mencetuskan kritikan ramai sehingga beberapa laporan dibuat orang awam kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ekoran perkembangan itu, Kementerian Kewangan (MoF) dilaporkan telah menarik balik kelayakan STR dan SARA dari individu berkenaan.

Menurut Buletin TV3, lelaki berkenaan kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan.

“Siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati bahawa pemilikan hartanah tersebut adalah benar.

“Berdasarkan maklumat pindah milik yang direkodkan dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), hartanah berkenaan didaftarkan atas nama penerima dan pasangan beliau.

“Berdasarkan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA beliau telah ditarik balik,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran seorang lelaki yang mendedahkan beliau menerima bantuan STR dan SARA berjumlah RM1,900 setahun, selain mengaku memiliki enam hartanah sewaan yang dibeli sejak 2007.

BACA JUGA KDNK lepas sasaran, reformasi ekonomi Kerajaan MADANI berjaya