KPKM yakin mampu depani cabaran, agenda keterjaminan makanan terus jadi keutamaan negara

FOTO BERITA: Majlis Amanat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu bersama Warga KPKM Tahun 2026 di Dewan Serbaguna KPKM, Wisma Tani Presint 4, Putrajaya. 16hb Januari 2026 (Jumaat)

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus komited memperkukuh kedaulatan makanan negara sebagai asas membina daya tahan nasional, selaras dengan cabaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 bersama Warga KPKM di Dewan Serbaguna KPKM, Wisma Tani, Presint 4, hari ini.

Menurut beliau, bertemakan “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara”, hala tuju Kementerian bagi tahun 2026 memberi penekanan kepada pengukuhan keupayaan pengeluaran domestik, pengurangan kebergantungan import serta pemantapan rantaian bekalan makanan negara secara mampan dan berdaya saing.

Dalam amanat tersebut, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga KPKM atas komitmen tinggi sepanjang 2025 yang menyaksikan pelbagai pencapaian strategik direkodkan. Antaranya termasuk peningkatan hasil padi melalui Program SMART SBB yang melibatkan lebih 18,600 pesawah di seluruh negara, pembangunan industri jagung bijian dengan perancangan jangka panjang sehingga 2040, serta pengukuhan industri ruminan yang menyumbang lebih 45,000 ekor ternakan.

Sektor perikanan turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan sumbangan RM9.18 bilion kepada KDNK, manakala industri nanas dan bawang tempatan menunjukkan potensi besar dalam mengurangkan kebergantungan import serta meningkatkan pendapatan pengusaha.

Beliau turut memaklumkan bahawa sektor agromakanan negara menyumbang RM145.35 bilion atau 11.4 peratus kepada KDNK bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, selain berjaya mengecilkan jurang defisit perdagangan agromakanan kepada RM28.83 bilion.

Mengulas hala tuju 2026, Mohamad Sabu menegaskan bahawa makanan kini bukan sekadar isu kebajikan, sebaliknya instrumen geopolitik yang menuntut pendekatan strategik dan berpandangan jauh. Sehubungan itu, KPKM akan menerajui pendekatan reverse investment bagi menjamin bekalan komoditi kritikal seperti beras, daging ruminan, susu serta benih dan baka.

Selain itu, pengukuhan industri padi dan ruminan, pemantapan industri hiliran, pengurangan pembaziran makanan serta peningkatan kecekapan infrastruktur pertanian melalui pendekatan 3M – Membina, Menaik Taraf dan Menyelenggara turut menjadi keutamaan.

Dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kementerian menyasarkan pelaksanaan 5,000 Program Jualan Agro MADANI sepanjang 2026, menawarkan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran. Inisiatif ini dilihat berkesan dalam menstabilkan harga makanan dan meningkatkan pendapatan petani, penternak serta nelayan.

Mengakhiri amanat, Mohamad Sabu menyeru seluruh warga KPKM agar terus mengamalkan budaya kerja berintegriti, cekap dan berdisiplin bagi menterjemahkan perancangan kepada pelaksanaan berimpak tinggi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang akan menamatkan perkhidmatan pada 19 Januari 2026 atas sumbangan besar kepada sektor perikanan negara.

“Dengan kesepaduan tindakan dan iltizam bersama, saya yakin KPKM mampu mendepani cabaran mendatang serta memastikan agenda keterjaminan makanan negara terus menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.