Mohd Zuhairi serah tugas, Muhamad Hanif dilantik Pengarah baharu KPDN Selangor

FOTO BERITA: Majlis Tandatangan Nota Serah Tugas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah berlangsung dengan jayanya antara Mantan Pengarah KPDN Selangor, YBrs. Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey dan Pengarah Baharu KPDN Selangor, YBrs. Tuan Muhamad Hanif bin Asa’ari. 16hb Januari 2026 Jumaat. (Gambar: UKK KPDN)

Majlis ini menandakan satu peralihan kepimpinan yang teratur dan profesional, selaras dengan amalan tadbir urus terbaik dalam perkhidmatan awam. Ia sekali gus memastikan kesinambungan pentadbiran, hala tuju strategik serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan KPDN Selangor terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara.

Dalam majlis tersebut, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dizahirkan kepada YBrs. Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey atas segala jasa, komitmen dan kepimpinan cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang menerajui KPDN Selangor. Sumbangan beliau amat signifikan dalam memperkukuh peranan dan keberkesanan KPDN di peringkat negeri.

Pada masa yang sama, warga KPDN Selangor mengalu-alukan pelantikan YBrs. Tuan Muhamad Hanif bin Asa’ari sebagai Pengarah Baharu dan menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan beliau akan terus memacu kecemerlangan organisasi serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
