Semua perolehan ATM, PDRM terpalit rasuah akan dibeku sementara

Semua keputusan berkaitan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkait dengan isu rasuah akan dibekukan buat sementara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

“Saya akan tunggu laporan apakah ada beberapa kelompongan, kelemahan dalam sistem perolehan yang ada. Kadang-kadang kita bagi setengah juta ringgit ke bawah itu, ia (buka) ruang yang mudah untuk masing-masing jabatan.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas kenyataan yang sangat jelas.

“Kita harus teliti semula, susun semula dan untuk sementara waktu membekukan semua perolehan tentera atau polis sehingga kita pastikan proses itu dipatuhi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas solat Jumaat.

BACA JUGA YDP Pas Subang kalah saman, diarah bayar RM57,000 kerana memfitnah