YDP Pas Subang kalah saman, diarah bayar RM57,000 kerana memfitnah
Seorang pemimpin Pas hari ini diperintah untuk membayar ganti rugi dan kos keseluruhan berjumlah RM57,000 kepada Jamzuri Ardani selepas didapati bersalah memfitnah plaintif sebagai “membela penghina agama”.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengarahkan Yang Dipertua Pas Subang, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan membayar ganti rugi RM50,000 dan kos RM7,000 kepada plaintif.
Ia berhubung kenyataan Rosharizan selaku defendan berhubung kontroversi kalimah Allah pada stokin yang dijual di KK Super Mart dua tahun lalu.
Defendan menulis “Jamzuri Ardani dan Siti Kassim dua personaliti berbeza namun mereka sebenarnya punyai citarasa yang sama iaitu membela penghina agama”.
Dalam alasan penghakiman hari ini, Hakim berpendapat kenyataan defendan iaitu “membela penghina agama” secara jelas menggambarkan plaintif sebagai seorang ahli politik dan individu beragama Islam yang menyokong tindakan mencemarkan kesucian agama Islam dan/atau tidak membela kesucian agama Islam dimana.
Menjadi prinsip undang-undang bahawa kenyataan tersebut dianggap (presumed) kenyataan fitnah yang tidak benar.
Hakim juga mendapati, defendan gagal mengemukakan keterangan fakta-fakta yang boleh menyokong bahawa plaintif ialah seorang yang bercita rasa membela penghina agama.
Mahkamah bersetuju defendan tidak berhati-hati, tidak menyemak kesahihan, dan tidak mengambil sebarang langkah wajar sebelum kenyataan tersebut.
Mahkamah juga bersetuju dengan plaintif bahawa kenyataan defendan adalah bermotifkan kepentingan politik kepartian sekadar cubaan menjatuhkan reputasi plaintif.
“Kenyataan defendan telah dibuat secara malicious. Tuduhan membela penghina agama ialah tuduhan yang serius,” menurut alasan penghakiman dikongsikan peguam Jamzuri, Noorazmir Zakaria.
BACA JUGA Hannah Yeoh kembalikan Padang Merbok kepada rakyat