Kedai runcit paling gembira bila SARA masuk, rasai peningkatan jualan harian
Kebanyakan premis perniagaan runcit yang mengambil bahagian dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memberi maklum balas positif apabila perniagaan mereka kembali meriah sejak penyaluran bantuan itu.
Ini kerana, sebaik sahaja SARA dikreditkan ke akaun orang ramai, berlaku peningkatan jualan di kedai-kedai, kata Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, memetik Bernama.
Johan berkata, data menunjukkan hampir satu pertiga daripada kira-kira RM624.97 juta telah dibelanjakan oleh rakyat sejak SARA dikreditkan pada 9 Januari sehingga 13 Januari.
“Setakat ini, daripada segi maklum balas yang kita dapat daripada kedai yang mengambil bahagian juga amat positif, mereka melihat apabila kredit SARA masuk saja dalam kad pengenalan, mereka semua menikmati peningkatan dalam jualan.
“Berdasarkan data yang baru saya terima, bantuan yang disalurkan sejak 9 Jan lepas, sudah hampir satu pertiga sudah habis dibelanjakan.
“Saya rasa ia SARA (merupakan) satu mekanisme yang berkesan untuk menyalurkan bantuan kepada isi rumah,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual.
Menurut data Kementerian Kewangan (MOF), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi perbelanjaan SARA dengan masing-masing 36 peratus manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terendah dengan 21 peratus setakat 13 Jan lepas, lima hari selepas SARA mula disalurkan.
Data tersebut juga menunjukkan penerima SARA berbelanja kira-kira RM172.49 juta melibatkan penerima dari 14 negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Selain penerima bantuan, Johan berkata penyaluran SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga memberi kesan limpahan serta peluang kepada peniaga dan premis yang terlibat untuk bersaing secara sihat dengan menampilkan penawaran harga yang lebih rendah.
Katanya, ini sekali gus memberikan penerima lebih banyak pilihan untuk berbelanja.
BACA JUGA Malaysia catat kadar gembira tertinggi di dunia