Jelajah AI MyMahir dilancar di Sungai Buloh, perkukuh kemahiran digital rakyat

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia serta MoU antara TalentCorp dan EY Malaysia di Dewan Meranti, Seksyen U20, Sungai Buloh, Selangor. 17hb Januari 2026 (Sabtu)

Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia, bertempat di Dewan Meranti, Seksyen U20, Sungai Buloh, hari ini. Program berimpak tinggi ini turut menyaksikan pemeterian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan Ernst & Young (EY) Malaysia, sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat.

Majlis tersebut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), termasuk Dato’ Azman bin Muhammad Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia; Dr. Haji Muhammad Syahrin bin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa); serta Tuan Suteqno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi). Turut hadir ialah wakil industri dan korporat seperti Muhammad Kuzan, Tuan Edward Ling, CEO Telengkop, barisan CEO agensi, ahli lembaga pengarah, serta rakan industri daripada TalentCorp dan EY Malaysia.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Ramanan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir, termasuk pelajar, guru, usahawan, suri rumah, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara serta warga Parlimen Sungai Buloh yang menyertai program tersebut.

Menurut beliau, program Jelajah AI MyMahir di Sungai Buloh mencatatkan kehadiran hampir 700 peserta daripada pelbagai generasi, menjadikannya antara penyertaan tertinggi sejak jelajah itu bermula.

“Ini adalah satu langkah yang sangat baik kerana AI adalah masa depan. Kita tidak boleh sekadar ‘mengejar’, tetapi perlu memperkasakan diri dengan kemahiran baharu agar mampu bersaing,” katanya, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri.

Beliau turut menekankan bahawa AI merupakan alat yang sangat berkuasa dan mampu meningkatkan produktiviti serta kualiti hidup, namun perlu digunakan secara bertanggungjawab. “AI ada kebaikan dan ada juga keburukan jika disalahgunakan. Sebab itu kemahiran dan kefahaman yang betul amat penting, supaya teknologi ini menjadi pemangkin kemajuan, bukan punca masalah,” jelasnya.

YB Dato’ Sri Ramanan turut memaklumkan bahawa latihan AI yang ditawarkan melalui TalentCorp ini diberikan secara percuma, sedangkan kos latihan seumpamanya di pasaran boleh mencecah RM5,000 seorang. Setakat ini, hampir 1,000 peserta di seluruh negara telah mengikuti program MyMahir AI, dengan 500 peserta berjaya memperoleh sijil selepas menamatkan lima modul latihan yang ditetapkan. Beliau menggesa warga Sungai Buloh agar memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dan melengkapkan semua modul bagi memperoleh sijil kemahiran AI yang diiktiraf industri.

Program Jelajah AI MyMahir telah dilaksanakan di beberapa parlimen sebelum ini, termasuk di Sabah dan Bangi, dan Sungai Buloh merupakan antara lokasi tumpuan utama jelajah kali ini. Menurut beliau, usaha memperkasa kemahiran digital rakyat bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, malah membantu negara bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan global yang semakin dipacu teknologi.

“Ini adalah pelaburan untuk masa depan rakyat dan negara. Ambil peluang ini, jangan berhenti belajar, kerana kemahiran AI sangat diperlukan dalam industri hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Azman Muhammad Yusof, menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) bukan ancaman kepada pekerjaan, sebaliknya satu alat penting yang mampu mempercepatkan proses kerja, meningkatkan produktiviti dan membuka peluang baharu kepada rakyat jika digunakan dengan betul.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir di Dewan Meranti, Seksyen U20, Sungai Buloh, yang turut dihadiri barisan kepimpinan KESUMA, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), rakan strategik Ernst & Young (EY), serta wakil industri dan masyarakat setempat.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa panduan yang betul, AI boleh mengelirukan pengguna, terutamanya dalam pencarian maklumat. Namun melalui latihan yang disediakan oleh TalentCorp dengan kerjasama EY, peserta diajar teknik menggunakan AI secara tepat, berstruktur dan berfokus. “Bila kita tahu cara bertanya soalan yang betul kepada AI, barulah kita dapat maklumat yang tepat. AI bukan sekadar alat cari maklumat, tetapi alat bantu membuat keputusan,” jelasnya.

Menurut beliau, AI memberi manfaat besar kepada industri kreatif dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk dalam rekaan batik, pemasaran dan pembangunan produk.

“Kalau dulu nak hasilkan satu rekaan batik boleh ambil masa sebulan, sekarang dengan AI, reka bentuk asas boleh siap dalam masa singkat dan terus disesuaikan untuk pengeluaran,” katanya.

Dato’ Azman menegaskan bahawa kebimbangan terhadap kehilangan pekerjaan akibat AI adalah tidak berasas jika masyarakat bersedia menyesuaikan diri.

“Jawatan tidak hilang, tetapi alat yang digunakan berubah. Yang penting ialah kemahiran dan kesediaan untuk belajar,” katanya.